Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 12 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang memberikan keutamaan kepada penduduk setempat dalam membuat pemilihan peserta Skim Tanah Warisan (STW) di seluruh negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini selaras dengan tujuan pemberian berkenaan bagi memastikan rakyat di negeri ini memiliki rumah.
“Syarat pemilihan peserta STW yang pertama sekali adalah kepada penduduk setempat. Maknanya kalau buat di Semambu, penduduk di Semambu di beri keutamaan.
“Kita tak bagi kepada penduduk daripada Pekan, daripada Damak, dan lain-lain. Itu yang pertama. Itu syaratnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Semambu, YB. Encik Lee Chean Chung berkenaan syarat bagi memperoleh STW dan cadangan diperluaskan ke daerah lain semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Beliau berkata STW adalah produk baharu Kerajaan Negeri Pahang dan ianya adalah tambahan daripada usaha-usaha untuk memberi rakyat Pahang memiliki rumah sendiri.
“Selain itu syarat kedua, peserta yang berpendapatan rendah dan sederhana; serta mana-mana pemohon yang diperakui oleh Jawatankuasa Pemilihan Skim Tanah Warisan.
“Peserta-peserta yang dipilih perlu membayar premium tanah berjumlah RM10,000 sahaja; mereka perlu membina rumah di atas tanah tersebut dalam tempoh lima tahun selepas menerima surat tawaran.
“Dan sekatan pindahmilik atau moratarium juga dikenakan untuk tempoh 10 tahun. Ini sebab kita tak nak, kita bagi tapak tanah, tapak rumah, tiba-tiba dia jual pula tapak tersebut. Ini akan melanggar tujuan kita,” katanya.
Menurut beliau lagi, STW akan turut dipanjangkan kepada daerah lain tertakluk
kepada peruntukan Kerajaan Negeri.
“Bagi tahun 2023, Kerajaan Negeri merancang untuk melaksanakan STW di daerah Pekan iaitu di Kampung Che Limah, Mukim Bebar, Nenasi dengan keluasan 100 ekar,” katanya. -PAHANGMEDIA