Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 12 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mewujudkan sebanyak 111 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di seluruh Pahang dalam usaha memastikan masyarakat luar bandar tidak terpinggir dan terlibat sama dalam dunia digital.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, PEDi merupakan kemudahan bagi menyediakan capaian internet secara kolektif selain menawarkan pelbagai kursus dan latihan berasaskan ICT, keusahawanan, multimedia dan sebagainya untuk menggalakkan penglibatan lebih ramai masyarakat luar bandar dalam aktiviti ekonomi digital.
“Berdasarkan kepada statistik SKMM, sehingga 31 Ogos 2022, seramai 159,783 pengguna telah menggunakan kemudahan PEDi di Pahang.
“Bilangan pengguna PEDi akan terus bertambah apabila inisiatif transformasi PEDi mula dilaksanakan pada tahun 2022 iaitu dengan mewujudkan IKON Usahawan yang berperanan sebagai role model kepada masyarakat luar bandar, melantik Rakan Digital di PEDi yang turut memberi tunjuk ajar dan mewujudkan Panel Penasihat PEDi yang membantu memperkukuhkan peranan PEDi sebagai pusat pendigitalan setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Semantan, YB. Dato’ Nor Azmi Mat Ludin berhubung usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan penglibatan masyarakat luar bandar dalam dunia pendigitalan pada Sesi penambahan permohonan Skim I-PUSH bagi membantu lebih ramai anak muda pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Jelasnya, kerajaan turut mengadakan kolaborasi dengan pelbagai agensi pelaksana bagi menjayakan PEDi seperti MDEC, SME Corp, MYNIC dan banyak lagi menerusi program pendigitalan ekonomi. – PAHANGMEDIA