Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 12 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang akan meneruskan Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH) Fasa 2 yang akan mula dibuka pada 1 November depan.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, Kerajaan Pahang telah memperuntukkan sejumlah RM20 juta kepada 2,500 usahawan di mana fasa pertama telah diberikan kepada 751 orang membabitkan peruntukan RM7.15 juta.
“Berbaki dari jumlah keseluruhan peruntukan tersebut akan digunakan bagi permohonan fasa kedua.
“Pendaftaran Skim I-PUSH Fasa Ke-2 akan dibuka pada 1 November 2022 setelah Majlis Penyampaian Bantuan Skim I-PUSH oleh YAB Menteri Besar Pahang kepada pemohon yang berjaya bagi fasa pertama pada 17 Oktober 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, YB. Dato’ Haji Md. Sohaimi Haji Mohamed Shah berhubung pada Sesi penambahan permohonan Skim I-PUSH bagi membantu lebih ramai anak muda pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.
I-PUSH telah diperkenalkan oleh Kerajaan Pahang bertujuan membantu golongan usahawan mikro yang terjejas perniagaan mereka akibat pandemik COVID-19. – PAHANGMEDIA