Ahli Dewan Negeri (ADN) Peramu Jaya, YB. Dato’ Sri Haji Sh. Mohamed Puzi Sh. Ali

SIDANG DEWAN NEGERI : KERAJAAN PAHANG DICADANG GUNA SISTEM IBS BINA RUMAH

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 11 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang dicadangkan membina rumah menggunakan Sistem Bangunan Perindustrian (IBS) bagi menjimatkan tempoh dan kos pembinaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Peramu Jaya, YB. Dato’ Sri Haji Sh. Mohamed Puzi Sh. Ali berkata cadangan penggunaan sistem ini digunapakai bagi pembinaan merangkumi semua projek perumahan di bawah Kerajaan Pahang.

“Dalam penyediaan perumahan ini, saya melihat beberapa aspek iaitu pertama, kos pembinaan yang masih dianggap tinggi meskipun kos pelaksanaan dikategorikan rendah.

“Tempoh siap projek juga agak panjang kerana ianya dibina secara manual. Berkemungkinan juga sesetengah projek terbengkalai akibat masalah kontraktor dan sebagainya. Dan yang paling utama, mutu dan kualiti tidak terjamin dan setara.

“Oleh sebab itu, saya mohon mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar pembinaan rumah melalui kaedah Industrialize Building System (IBS) dapat dipelopori oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Ahli Dewan Negeri semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini. –

Beliau berkata banyak kebaikan yang dapat diperoleh Kerajaan Pahang sekiranya sistem ini digunapakai bagi melaksanakan projek pembinaan rumah.

“Kerana sistem ini membolehkan rumah pasang siap dilaksanakan dengan kos yang lebih minimum, penggunaan bahan yang optima, penggunaan tenaga kerja yang kurang, kualiti yang baik, kurangkan masa pembinaan, dan yang penting ianya lebih murah.

“Tetapi pada hemat saya memadai di Negeri Pahang kita laksanakan pada skala kecil tetapi ianya lebih menyeluruh meliputi sasaran pembinaan rumah kita setiap tahun,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram