Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 11 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang menaiktaraf 18 infrastruktur telekomunikasi yang ditenggelami banjir pada penghujung 2021 dan awal 2022 dengan meninggikan platform infrastruktur berkenaan sebagai langkah persediaan menghadapi musim banjir tidak lama lagi.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, semasa banjir melanda Pahang pada hujung tahun 2021 dan awal tahun 2022, sebanyak 571 stesen pemancar di 381 infrastruktur telekomunikasi yang telah terjejas di seluruh negeri.
“Punca utama gangguan kepada sistem telekomunikasi ini adalah disebabkan oleh pemutusan bekalan elektrik oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) atas sebab-sebab keselamatan apabila paras air semakin naik,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Encik Mohd Sharim Haji Md Zain berhubung persediaan Kerajaan Negeri menghadapi gangguan sistem telekomunikasi pada musim banjir pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata, sebagai persediaan musim monsun yang akan datang, kerja-kerja membina platform yang lebih tinggi untuk menempatkan peralatan elektronik telah bermula di semua 18 lokasi infrastruktur di mana sehingga kini 12 telah pun selesai dilaksanakan manakala enam lagi dalam perlaksanaan dan akan siap pada penghujung Oktober 2022.
Sejak tahun 2014 sehingga 2021, pihak Telco telah menaiktaraf dan memperkasakan sebanyak 85 lokasi pemancar telekomunikasi di seluruh Pahang. – PAHANGMEDIA