Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin

SIDANG DEWAN NEGERI : KERAJAAN PAHANG KOMITED JADIKAN LIPIS UNESCO GLOBAL GEOPARK

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 11 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang komited menjadikan Lipis sebagai UNESCO Global Geopark di mana daerah tersebut terlebih dahulu perlu memenuhi prasyarat dengan mendapat pengiktirafan sebagai tapak Geopark Kebangsaan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin berkata, beberapa langkah awal telah diambil termasuk cadangan pembangunan Lipis Geopark ini telah dimasukkan dalam Rancangan Tempatan Daerah Lipis 2020 dan beberapa cadangan projek berimpak tinggi telah digariskan dalam Rancangan Struktur Negeri Pahang 2050.

“Perancangan dan cadangan projek infrastruktur ini merupakan sebahagian daripada komponen penting dalam pembangunan Lipis Geopark.

“Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Jabatan Mineral dan Geologi, geosains, Jawatankuasa Geopark Kebangsaan dan semua pemegang taruh yang berkaitan bagi menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Geopark Lipis.

“Jawatankuasa ini berfungsi sebagai penggerak kepada semua usaha pembangunan, penyelidikan, pemulihan, promosi dan penyediaan dokumen yang diperlukan bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai UNESCO Global geopark,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long berhubung perancangan Kerajaan Negeri ke arah merealisasikan Daerah Lipis dinobatkan sebagai UNESCO Global Geopark pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.

YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar berkata, Kerajaan Pahang juga mengadakan majlis pelancaran Aspirasi Lipis Geopark sekaligus menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan Daerah Lipis mendapat pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark.

Usaha ini adalah selaras dalam memastikan industri pelancongan di Pahang terus mendapat tempat di samping menjadi destinasi pelancongan berteraskan eko-pelancongan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram