Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 11 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang menerusi Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) melaksanakan rancangan jangka panjang di bawah program Air Tidak Berhasil atau Non Revenue Water (NRW) dengan penggantian paip di lima kawasan membabitkan peruntukan RM12.1 juta.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program ini akan bermula pada tahun 2023 dan dijangka siap secara berperingkat mengikut kawasan sehingga tahun 2024.
“Antara kawasan yang terlibat ialah Penggantian paip AC 250mm dari Simpang LRA Janda Baik ke Elektrisola Janda Baik (7km), Penggantian paip AC 200mm dari Tangki R2, R3 ke Tangki R4 Bukit Tinggi (3km), Penggantian paip AC 100mm & 150mm dari Simpang LRA Janda Baik ke ILMU/Sugeh Resort Janda Baik, Pemasangan paip MS 200mm di Kilometer 74.5 Lebuhraya Karak-Bentong dan Penggantian paip Poly 160mm kepada 250mm MS Jalan KL Lama (19km),” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Bilut, YB. Encik Lee Chin Chen berhubung perancangan Kerajaan Negeri mengganti dan menukar paip-paip air yang uzur pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, pagi tadi.
Menurut Dato’ Sri Haji Wan Rosdy, secara purata aduan paip pecah bagi kawasan Dewan Negeri Bilut dalam tempoh satu bulan adalah sebanyak dua kali dan kawalan tekanan air telah dilakukan oleh PAIP menerusi Unit Agihan bagi meminimakan kejadian paip pecah. – PAHANGMEDIA