Oleh: Mahathir Ali
KUANTAN, 11 OKTOBER 2022 : Pelaksanaan pemasangan kabel gentian optik dari Kampung Genting ke Kampung Mukut di Pulau Tioman telah dimulakan pada awal bulan ini apabila semua peralatan dan barangan siap dibawa masuk pada penghujung bulan September lalu.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, buat masa ini kerja-kerja penanaman tiang gentian optik sedang dilakukan.
“Projek ini akan menghubungkan rangkaian gentian optik ke Kampung Mukut melalui Japamala – Kg Nipah – Kg Sarang Burung – Kg Mukut dengan jarak 8.5km.
“Dengan pelaksanaan ini dianggarkan seramai 200 penduduk di Kampung Mukut akan menikmati kemudahan internet lebih baik dijangka pada bulan April 2023 apabila semua projek siap sepenuhnya nanti,” katanya.
Beliau berkata, dengan siapnya projek ini juga akan melengkapkan semua kampung utama di Pulau Tioman dengan rangkaian gentian optik sekaligus membolehkan perkhidmatan internet jalur lebar berkelajuan tinggi dilanggan oleh masyarakat umum disitu dan juga pengusaha chalet-chalet (industri pelancongan) di pulau peranginan tersebut.
“Projek Ini turut menyokong usaha-usaha Kerajaan Negeri Pahang untuk pelaksanaan projek digital di Pulau Tioman termasuk ‘Cashless Society Tioman’ yang telah dirancang baru-baru ini. Malah usaha ini mendapat perhatian serius dari YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail,” katanya.

Katanya, sebelum ini lima kampung utama di Pulau Tioman telah berjaya di rangkaikan dengan gentian optik dimana perkhidmatan internet jalur lebar talian tetap yang berkelajuan tinggi juga tersedia dan boleh dilanggan oleh penduduk serta pengusaha di kampung Tekek, Kampung Juara, Kampung Salang, Kampung Air Batang dan Kampung Genting.
“Malah kesemua lapan kampung disekitar Pulau Tioman telah mempunyai menara telekomunikasi. Ia bakal menjadikan Pulau Tioman diantara pulau yang mempunyai liputan komunikasi yang terbaik dalam negara setelah semua kerja-kerja ini siap seperti dirancang tidak lama lagi,” katanya. – PAHANGMEDIA