YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan anugerah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Tahun 1444 Hijrah di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan

JADIKAN RASULULLAH SEBAGAI PANDUAN – TOKOH MAULIDUR RASUL

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 09 OKTOBER 2022 : Tokoh Maulidur Rasul Pahang, Encik Zul Ramli Mohamad Ghazali, 56, menjadikan cara Rasulullah SAW dalam berdakwah sebagai panduan menyelesaikan masalah yang ada dalam masyarakat.

Katanya, beliau membuat kuliah dan latihan kepada pegawai-pegawai Jabatan Agama dalam menjadikan Rasulullah SAW itu sebagai cara nak menyelesaikan kepada masalah yang ada dalam masyarakat.

“Saya daripada (usia) 17 tahun sudah mula pergi masjid di Jerantut, di Kampung Batu Tunggal, saya mula beri ceramah dan berkembang. Kemudian saya keluar (dari Jerantut) dan sejak dari itulah insyaAllah diteruskan (dakwah),” katanya.

Katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Tahun 1444 Hijrah di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Beliau menerima wang tunai RM10,000, hadiah iringan, dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Ahli Parlimen Paya Besar yang juga Timbalan Menteri Kewangan I, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

Tokoh Maulidur Rasul Pahang, Encik Zul Ramli Mohamad Ghazali, 56

Menurutnya lagi, Anugerah Tokoh Maulidur Rasul ini juga merupakan satu kepercayaan Kerajaan Pahang kepada dirinya.

“Sejujurnya saya rasa sangat insaf. Pertama sekali saya dapat rasa jasa mak dan ayah. Dan perasaan syukur. Saya rasa ini satu kepercayaan yang akan mengobarkan lagi semangat saya untuk buat kerja yang membawa kepada agama, kepada Rasulullah SAW.

“Pertama sekali terima kasih kepada pihak yang memilih terutama daripada Dato’ Sri Syed Ibrahim dan semua komiti sehingga peringkat Menteri Besar Pahang,” katanya.

Beliau yang berasal daripada Kuala Tembeling, Jerantut berkata beliau merasa bangga menjadi anak Pahang dan sering berkongsi asal usul diri beliau kepada orang ramai.

“Pahang dekat di hati saya. Kalau perasan saya biasa keluar dalam televisyen, saya akan cuba cakap saya anak Jerantut dan anak Pahang. Saya rasa itu saya punya cara sebab nak tunjuk rasa syukur.

“Dan sebenarnya bila anugerah yang saya dapat tadi datang daripada negeri saya sendiri, saya rasa satu perasaan yang lebih sayang, lebih cinta, kepada negeri kita,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Anugerah Ummah telah dianugerahkan kepada Encik Cik Wan Hilmy Wan Mohamed yang merupakan Pengetua Madrasah An Nabawiyyah Pulau Tawar; Anugerah Daie dianugerahkan kepada Tuan Haji Mohd Roslan Mohd Saludin yang merupakan pensyarah di Universiti Putra Malaysia; dan Anugerah Pendidikan diberikan kepada Sekolah Kebangsaan Kempadang.

Kesemua penerima anugerah ini membawa pulang wang tunai RM5,000, hadiah iringan dan sijil penghargaan.

Seramai 1,200 peserta daripada 32 kontinjen telah mengambil bahagian dalam perarakan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1444 Hijrah. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram