BELANJAWAN PAHANG : MODUL EKO-RIMBA & EKO-PERLANCONGAN PERHUTANAN MENERUSI PAHANGGO

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 07 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang akan melancarkan Modul Eko-Rimba dan Sistem Eko-pelancongan Perhutanan Pahang menerusi aplikasi PahangGo.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ia bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan memudahkan para pengunjung untuk melawat dan melakukan aktiviti di kawasan rimba negeri ini.

“Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bakal melancarkan dua aplikasi atas talian. Pertama, Modul Eko-Rimba dalam aplikasi Pahang-Go.

“Melalui aplikasi ini, para pengunjung yang melawat Taman Eco-Rimba Mossy Forest dan
membuat aktiviti pendakian di Cameron Highlands boleh membayar fi masuk dan mendapat permit memasuki Hutan Simpan Kekal secara atas talian.

“Kedua, Sistem Eko-pelancongan Perhutanan Pahang, iaitu aplikasi yang mempunyai fungsi serupa dengan Eko-Rimba, tetapi akan digunakan di Hutan Simpan Kekal Negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2023 yang bertemakan Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Sementara itu katanya, sebanyak RM3.44 juta diperuntukkan di bawah Perbelanjaan Mengurus untuk perolehan infrastruktur ICT dan sebanyak RM2.27 juta diperuntukkan di bawah Perbelanjaan Pembangunan bagi melaksanakan projek berkaitan teknologi maklumat, antaranya pelaksanaan perkhidmatan online agensi kerajaan dan menaiktaraf rangkaian komunikasi 1PahangNet.

“Bagi tujuan melaksanakan teras Infrastruktur Digital dalam Pelan Digital Negeri Pahang 2021-2025 pula, sejumlah RM3 juta diperuntukkan pada tahun 2023 sebagai kesinambungan Program Langganan Perkhidmatan Jalur Lebar Satelit kepada kawasan yang menghadapi capaian bermasalah bagi memastikan jurang digital dapat dikurangkan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Pahang telah berjaya menyelesaikan ketirisan kutipan hasil sebanyak RM257.35 juta setakat 30 September lepas.

“Justeru, bagi tujuan membasmi ketirisan hasil Kerajaan Negeri, kita akan melakukan penyelarasan kadar perbekalan air mentah semasa,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram