BELANJAWAN PAHANG : PAHANG BERI PERHATIAN SERIUS KEPADA INDUSTRI ASAS TANI


Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 07 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang memberi perhatian serius kepada industri asas tani dalam usaha memajukan ekonomi negeri ini.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebanyak empat langkah penting akan Kerajaan Pahang lakukan pada tahun hadapan.

“Pertama, sebanyak RM300,000 diperuntukkan bagi pembangunan Industri Asas Tani. Kedua, memperkasa khidmat pembajakan Jabatan Pertanian Negeri Pahang bagi memenuhi permintaan petani.

“Ketiga, menumpukan kepada penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan serta pertambahan kenderaan baharu agar kemudahan logistik dapat ditambah baik. Langkah ini akan menggunakan peruntukan sebanyak RM665,000. Keempat, memudahkan kelulusan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) tanah bagi tujuan pertanian tanaman singkat melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah dan Jabatan Pertanian Negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2023 yang bertemakan Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Sementara itu, Kerajaan Pahang memperuntukkan RM504,000 melibatkan Bantuan Input Benih Ikan Tilapia atau Patin kepada 150 Penternak Kecil dan Sederhana melibatkan 10 daerah perikanan.

“Bagi menjamin kelangsungan spesies ikan asal di Sungai Pahang pula, Kerajaan Negeri akan mengadakan Kempen Pembasmian Spesis Ikan Asing Pemangsa (Predator) melalui kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Pahang dan Pihak Berkuasa Tempatan dengan peruntukan sebanyak RM100,000,” katanya.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri juga berusaha membangun dan memulihara baka ikan asli Pahang seperti Patin Muncung, Patin Buah, Temelian dan Kelah dengan membeli benih induk ini untuk menghasilkan sumber kekayaan baharu melalui pengeluaran spesies bernilai tinggi. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram