YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika sesi ucapan Belanjawan Pahang Tahun 2023 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

BELANJAWAN PAHANG : PAHANG TUMPU PEMBANGUNAN CEMERLANG GENERASI MASA HADAPAN

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 7 OKTOBER 2022 : Agenda pembinaan generasi masa depan yang gemilang turut menjadi tumpuan Kerajaan Negeri malah Belanjawan Pahang Tahun 2023 yang dibentangkan hari ini turut mengetengahkan pandangan, maklum balas serta idea yang diutarakan anak muda pada sesi Townhall yang diadakan baru-baru ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lima inisiatif utama disenaraikan dalam bajet kali ini melibatkan Pendidikan Anak Pahang,Pembangunan Anak Muda Pahang, Pemerkasaan Pembangunan Sukan, Projek Keusahawanan Anak Muda serta Program Kebanggaan Pahang.

“Kerajaan Negeri memutuskan untuk menaikkan bantuan one-off kepada pelajar anak Pahang yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi di IPTA yang diiktiraf di mana pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat Asasi/Matrikulasi, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda akan menerima RM1,000 berbanding RM500 sebelum ini.

“Bagi peringkat Sarjana, sebanyak RM3,000 akan diberi berbanding RM1,000 dan RM5,000 bagi penuntut PHD melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM9 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pembentangan Belanjawan Tahun 2023 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata pelaksanaan pelbagai program dan kursus latihan untuk membangunkan anak muda dengan peruntukan sebanyak RM1 juta akan dilakukan pada tahun hadapan.

“Projek Keusahawanan Anak Muda turut diberi perhatian dengan beberapa acara antaranya Karnival Usahawan Negeri Pahang, program pameran perdagangan antarabangsa termasuk Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) dan Halal Festival (HalFest) yang melibatkan peruntukan berjumlah RM1 juta.

“Peruntukan RM2.01 juta juga akan diberikan bagi program penggalakkan produk agropreneur termasuk produk Agro Pelancongan baharu di Negeri Pahang seperti tanaman vanila dengan peruntukan RM800,000, Geran Pemula Agromakanan Agropreneur Muda Pemasar Produk Hiliran Cendawan sebanyak RM210,000 dan Latihan Profesional Butcher dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1 juta,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram