Gambar hiasan

BELANJAWAN PAHANG : PAHANG CADANG TUBUH SYARIKAT KHAS BERKAITAN MINERAL EMAS

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 7 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang bercadang menubuhkan syarikat khas bagi menyelaras dan menguruskan semua aktiviti industri hiliran berkaitan mineral emas di negeri ini.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata syarikat ini akan mencari pendekatan meningkatkan hasil negeri berkaitan mineral emas.

“Mandat utama syarikat ini akan bersifat serampang dua mata iaitu, mencari pendekatan meningkatkan hasil negeri berkaitan mineral emas dan menyusun strategi untuk mencegah ketirisan yang merugikan negeri.

“Selain itu, syarikat ini akan turut dipertanggungjawabkan mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk pengeluaran hasil emas, meneroka peluang perniagaan baharu berdasarkan sumber mineral emas, termasuk penggunaan platform digital dan Financial Technology, seta membuka peluang pekerjaan dalam industri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2023 yang bertemakan Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga akan membuka ruang meningkatkan penglibatan lebih ramai rakyat Pahang bagi merancakkan industri perlombongan secara umumnya.

“Bagi mencapai objektif ini, Kerajaan Negeri akan mengkaji secara mendalam pengenalan Skim Lombong Rakyat pada tahun 2023.

“Melalui skim ini, satu kawasan strategik akan ditawarkan kepada masyarakat awam bagi tujuan perlombongan yang akan dibangunkan secara bersama-sama menggunakan mekanisme dan operasi perlombongan terbaik yang akan dikaji melalui anak syarikat negeri iaitu Pahang Mining Corporation,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram