BELANJAWAN PAHANG : PAHANG BUAT TUNTUTAN BAHARU BERKAITAN PENEROKAAN ALAM SEKITAR

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 7 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang akan membuat beberapa tuntutan baharu bagi memastikan sumber alam semula jadi Pahang yang telah diterokai akan menyumbang semula kepada pendapatan negeri.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata terdapat dua tuntutan berkaitan projek hidroelektrik dan telekomunikasi.

“Antara tuntutan yang dilakukan adalah pertama melibatkan pelaksanaan projek hidroelektrik Ulu Jelai. Kerajaan Negeri telah menerima bayaran tuntutan bayaran terhadap kawasan takungan, kawasan tadahan, empangan, royalti air dan pendudukan tanah daripada pihak yang terlibat.

“Kedua adalah pembangunan infrastruktur telekomunikasi. Kerajaan Negeri akan menuntut permit tahunan dan cukai daripada pemilik struktur telekomunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikiian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2023 yang bertemakan Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri Pahang juga akan melakukan penambahbaikan inisiatif kutipan hasil meibatkan semakan pindaan.

“Seterusnya, penambahbaikan inisiatif kutipan hasil akan turut melibatkan semakan pindaan Kaedah Tanah Pahang dan Kaedah-Kaedah Hutan. Semakan ini bertujuan, antara lain, mengurangkan ketirisan hasil negeri.

“Selain itu, dalam usaha mempromosikan aktiviti pelancongan, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Fi Kelestarian sebanyak RM3 satu malam bagi penginap setiap bilik penginapan di Pahang.

“Fi Kelestarian yang dimulakan pada tahun ini akan diteruskan pada tahun depan dengan sasaran kutipan sebanyak RM6 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM1 juta berbanding tahun 2022.

“Bagi memastikan hasil kutipan Fi Kelestarian ini dimanfaatkan dengan sebaiknya, Kumpulan Wang Amanah Kelestarian akan ditubuhkan bagi memastikan hasil yang dikutip digunakan bagi tujuan membiayai pemasaran serta usaha mempergiat pelancongan ke arah menjadikan Negeri Pahang sebagai destinasi pilihan pengunjung dalam dan luar negara,” katanya.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram