BELANJAWAN PAHANG: TIGA PROGRAM KEBANGGAAN PAHANG BARU DIPERKENAL

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 7 OKTOBER 2022 : Usaha Kerajaan Pahang menghargai pelbagai lapisan rakyat diteruskan lagi dengan penambahan Program Kebanggaan Pahang bermula tahun depan.

Program yang dilaksanakan sebelum ini juga akan diteruskan lagi pada tahun akan datang dengan penambahan manfaat kepada setiap penerima.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tiga program baru yang akan dilaksanakan ialah Pahang Pride Athlete, Pahang Pride Orang Asli dan Pahang Pride Achiever.

“Pahang Pride Athlete melibatkan pemberian insentif secara ‘one-off’ kepada 1,000 orang atlet yang telah berjuang mengharumkan nama negeri dan negara dengan peruntukan sebanyak RM300,000.

“Pahang Pride Orang Asli pula akan memberi manfaat kepada pelajar Orang Asli yang menerima tawaran Universiti Awam mahupun IPTS yang diiktiraf. Mereka akan menerima komputer riba melalui peruntukan sebanyak RM750,000 selain usaha memeprkenalkan Program Baca Cepat Kawanku (BCK) melibatkan pelajar Orang Asli yang keciciran peringkat sekolah rendah melalui peruntukan sebanyak RM100,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pembentangan Belanjawan Pahang 2023 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Sementara itu Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, program Pahang Pride Achiever berbentuk pemberian saguhati bakal menemui anak Pahang yang mencatat pencapaian luar biasa di peringkat antarabangsa seperti kejayaan Pegawai Kadet Janusha a/p Balakrishnan Muthiah yang menjadi Pegawai Wanita Pertama negara yang berjaya menamatkan Pengajian dan Latihan Ketenteraan di United States Naval Academy (USNA) serta pencapaian Sekolah Kempadang, Kuantan yang tercalon sebagai finalis Anugerah Sekolah Terbaik Dunia bagi kategori inovasi.

Dalam pada itu katanya, tiga Program Kebanggaan Pahang yang telah dilaksanakan sebelum ini akan ditambah baik seperti jumlah pemberian Pahang Pride Kid daripada RM200 kepada RM300 bagi setiap kelahiran merangkumi barangan bayi bernilai RM50, simpanan tunai RM100 dan gold bar Anak Kebanggaan Pahang bernilai RM150 dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM7.5 juta.

“Pemberian kad diskaun 20 peratus di bawah program Pahang Pride Student pula akan diperluaskan kepada pelajar tingkatan enam dan pelajar institusi pengajian tinggi khas untuk anak Pahang dan pelajar yang sedang belajar di negeri Pahang.

“Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri akan turut memperuntukkan RM7.6 juta bagi menyediakan set bantuan awal persekolahan yang bernilai RM120 setiap satu bagi manfaat 63,376 orang pelajar kategori miskin dan miskin tegar di sekolah rendah dan menengah seluruh Pahang,” katanya.

Akhir sekali, beliau turut mengumumkan penambahan bilangan penerima kad kesihatan iaitu 200 orang warga emas di setiap Dewan Negeri (DN) melibatkan peruntukan sebanyak RM20 juta.

“Ini menjadikan jumlah penerima meningkat daripada 22,200 orang pada tahun 2022 kepada 30,600 penerima pada tahun hadapan termasuk pesara KEMAS, JASA, SERANTA, bekas ketua kampung, ketua kampung, 15,067 OKU penerima bantuan JKM,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram