Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 7 OKTOBER 2022 : Sebanyak RM9.7 juta diperuntukkan bagi menyediakan bekalan elektrik di Kampung Orang Asli Telimau dan Kampung Orang Asli Lemoi di Pos Lemoi, Cameron Highlands.
Exco Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram berkata ia diputuskan setelah semakan daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Kampung Orang Asli di Cameron Highlands yang masih tidak dibekalkan bekalan elektrik adalah di Kampung Telimau, Kampung Lemoi, dan Kampung Chenan Cherah, di Pos Lemoi.
“Pihak TNB telah mengadakan lawatan tapak ke kampung-kampung berkenaan sebelum ini untuk mendapatkan data dari segi bilangan ataupun jenis rumah dan akses jalan masuk bagi penyediaan justifikasi projek serta anggaran kos projek.
“Dari segi laporan TNB hanya dua kampung yang boleh dibekalkan (bekalan elektrik) kerana mempunyai akses jalan. Bagi Kampung Chenan Cherah ianya tidak mempunyai akses jalan dan projek di kedua-dua kampung ini telah dijalankan oleh TNB dengan jangkaan kos sebanyak RM9.7 juta,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan juga telah meluluskan bekalan elektrik di Kampung Lemoi, Pos Lemoi menggunakan bekalan daripada mikrohidro.
“Sementara menunggu bajet daripada Rancangan Malaysia Ke-12 dalam Rolling Plan yang seterusnya, pihak Kerajaan telah mencadangkan agar ianya mencari alternatif lain selain sambungan sambungan direct daripada TNB.
“Pihak Kerajaan telah meluluskan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bagi mengadakan bekalan elektrik melalui mikrohidro yang dilaksanakan di Kampung Lemoi, Pos Lemoi. Setakat ini projek ini adalah dalam proses,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanah Rata, YB. Encik Chiong Yoke Kong berkenaan rancangan Kerajaan Negeri untuk menyediakan bekalan elektrik kepada kampung Orang Asli Cameron Highlands yang masih belum dibekalkan bekalan elektrik dalam sesi soal jawab pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA