Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini

SIDANG DEWAN NEGERI : KERAJAAN PAHANG SEMAK CADANGAN NAIKTARAF JALAN PANTAI ANAK AIR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 07 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang akan membuat semakan terlebih dahulu bagi cadangan untuk menaiktaraf Jalan Pantai Anak Air.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata ini kerana jalan ini dikategorikan sebagai jalan kampung di bawah sistem Malaysia Road Record Information System (MARRIS).

“Berkaitan dengan kesesakan Jalan Anak Air iaitu jalan diantara Yayasan Pahang sehingga ke Kempadang melalui pantai, bagi tujuan naiktaraf jalan ianya tidak boleh kita menggunakan duit penyelenggaraan.

“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa dari masa ke semasa membuat penilaian untuk menaiktaraf jalan di seluruh Kuantan. Sehingga hari ini jalan ini bukanlah di bawah keutamaan.

“Dan kita telah angkat 13 jalan untuk Rolling Plan Ketiga bagi naiktaraf jalan. Walau bagaimanapun, kita akan semak kembali sama ada sesuai atau tidak jalan ini untuk dinaiktaraf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Lumpur , YB. Tuan Haji Rosli Abdul Jabar berkenaan cadangan Kerajaan Negeri melebarkan jalan bagi mengatasi kesesakan di Pantai Anak Air disebabkan peningkatan jumlah pengunjung dan laluan pantai yang sempit semasa sesi soal jawab Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram