YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melakukan gimik pembukaan laluan FT008 Jalan Bentong-Gua Musang di tapak Projek Bentong berhampiran Kilang Lee Rubber, Bentong hari ini.

LALUAN BENTONG-GUA MUSANG DIBUKA SEMULA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

BENTONG, 05 OKTOBER 2022 : Laluan berdekatan Kilang Lee Rubber di laluan  FT008, Jalan Bentong – Gua Musang Seksyen 16, yang mengalami runtuhan cerun pada November tahun lepas telah dibuka kembali bagi kegunaan orang ramai secara rasminya hari ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata beliau berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan sebanyak RM5 juta bagi melakukan kerja baik pulih ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan cenderahati kepada pengguna jalan raya pada gimik pembukaan laluan FT008 Jalan Bentong-Gua Musang di tapak Projek Bentong berhampiran Kilang Lee Rubber, Bentong hari ini.

“Jalan ini (laluan  FT008, Jalan Bentong – Gua Musang Seksyen 16) mengalami runtuhan tanah dan sekarang telah pun siap dibaiki dan boleh digunakan oleh orang ramai.

“Dan ini dapat memudahkan rakyat di mana ia dapat mempercepatkan (tempoh) perjalanan, kerana kalau tidak mereka terpaksa ikut jalan lain yang jauh.

“Dan saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah memberi peruntukan RM5 juta lebih dan dalam masa yang sama saya ucapkan terima kasih juga pada pihak JKR Negeri Pahang yang dapat memantau dan dapat disiapkan seperti mana yang kita jadualkan walaupun berlaku sedikit kelewatan kerana ada hujan berterusan menjadikan kerja-kerja tidak dapat dibuat,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan gimik pembukaan laluan FT008 Jalan Bentong – Gua Musang, di tapak Projek Cerun Bentong di sini.

Turut hadir, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, YBrs. Ir. Hafizah Zakaria; barisan exco Negeri Pahang; dan Pegawai Daerah Bentong, YBhg. Encik Mohd Khuzaidi Harun.

Untuk rekod, kerja-kerja pembaikan cerun dan jalan telah mula dijalankan pada 20 Januari 2022 selepas berlaku runtuhan pada November 2021 menggunakan kaedah mampatan tanah (reinforced soil) dan timbunan batu (rockfill) telah selesai dan kini tinggal kerja akhir seperti membuat garisan jalan serta kerja-kerja pembersihan tapak sahaja.

Kerja-kerja pembaikan ini mengalami sedikit kelewatan disebabkan telah berlaku satu lagi runtuhan tanah pada 18 Mac lepas akibat hujan lebat semasa proses pembaikan berjalanZ

Sebelum ini, orang ramai yang menggunakan laluan dari Raub ke Bentong terpaksa menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Central Spine (FT34) atau melalui Jalan Persekutuan FT218 sejak 1 Februari lepas. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram