Oleh : Mahathir Ali
PEKAN, 1 OKTOBER 2022 : Bantuan Prihatin Pahang (BBP) yang disalurkan kepada siswa dan siswi diharap dapat meringankan beban ibu bapa mengurus anak yang menyambung pelajaran.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sumbangan ini juga merupakan tanda kasih sayang Kerajaan Pahang kepada adik-adik dan ibu bapa semua.
“Semua bantuan ini mampu diberikan oleh Kerajaan Pahang kerana mempunyai kedudukan kewangan yang begitu baik sekali hari ini.
“Selepas PRU14 lalu, walaupun kita menjadi kerajaan pembangkang di negara ini, tidak sama dengan Kerajaan Pusat dan agak sukar menerima apa jua peruntukkan namun berkat semangat, iltizam tinggi, kesabaran, yakin, bijaksana dan doa semua kepimpinan diketuai YAB Menteri Besar dan dibantu kesetiaan semua rakyat Pahang maka hari ini Kerajaan Pahang ini antara kerajaan terbaik dalam negara ini dari segi memberi bantuan, pelaburan dan peningkatan hasil negeri.
“Buat pertama kali dalam sejarah Kerajaan Pahang bakal mencapai hasil pendapatan lebih RM1 Bilion untuk tahun ini maka sudah tentulah lebih banyak lagi bantuan, sumbangan dan pembangunan akan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) untuk Siswa dan Siswi 2022, di sini hari ini.
Hadir sama, YB Ahli Dewan Negeri Pekan; Pegawai Daerah Pekan; Wakil Pejabat Ahli Parlimen Pekan; Penolong Pengurus Capaian Pendidikan Yayasan Pahang, Norma Isna Hernanny Musa; Timbalan Presiden 1 (MAMPAN) Cik Nurul Athirah Balqis Binti Mohd Azhar dan Dato’ Nizar Najib mewakili MTSP.

Katanya lagi, hari ini begitu banyak sekali bantuan, sumbangan dan perhatian mampu diberikan Kerajaan Pahang kepada rakyat negeri ini terutama kepada mereka yang memerlukan.
“Lebih dari 40,000 Mahasiswa dan Mahasiswi kita, anak-anak kelahiran Pahang yang sedang dalam pengajian di Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti akan menerima BPP (Siswa/Siswi) yang berjumlah RM200 setiap seorang. Manakala bagi Daerah Pekan hampir 1000 siswa dan siswi terima BPP ini.
“BPP diberikan bukan setakat kepada pelajar seperti hari ini malah ia diberikan kepada anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal, Orang Asli, Gelandangan, Pemandu Teksi, Nelayan, Penjaja, Peneroka, Pelajar Tahfiz, Pelajar Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Anak Muda Berniaga, Veteren Polis Tentera dan Kampung Tradisi juga,” katanya. – PAHANGMEDIA