LIPUTAN 4G DAERAH JERANTUT KINI 86.28 PERATUS

JERANTUT, 30 SEPTEMBER 2022 : Kadar liputan 4G bagi daerah Jerantut (di kawasan berpenduduk) meningkatkan daripada 72.2% pada suku kedua tahun 2020 (sebelum JENDELA bermula) kepada 86.28%, suku kedua tahun ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kadar berkenaan dijangka terus meningkat apabila semua projek JENDELA selesai.

“Terkini, sebanyak 28 buah menara komunikasi baharu sedang dibina di daerah Jerantut melalui pelaksanaan JENDELA Fasa Satu. Daripada jumlah tersebut empat menara telahpun siap dan beroperasi sepenuhnya sementara 24 lagi kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan bertujuan menambahbaik perkhidmatan telekomunikasi di seluruh daerah.

“Empat buah menara yang telah mula beroperasi adalah di Kampung Bukit Dinding, SMK Pulau Tawar, Kg Pasir Durian dan Kampung Seri Muda. Berdasarkan status semasa dari SKMM, terdapat banyak menara telah menunjukkan kemajuan seperti telah siap pemasangan struktur menara sebelum kerja-kerja pemasangan peralatan elektronik lain dan kerja awal dimulakan di tapak-tapak menara tersebut,” katanya.

Beliau berkata, melalui usaha pelaksanaan JENDELA juga bilangan premis yang mempunyai rangkaian gentian optik di daerah Jerantut telah berjaya ditingkatkan daripada 5,543 premis pada suku kedua 2020 (sebelum JENDELA bermula) kepada 12,203 premis Suku Kedua 2022 (pertengahan tahun ini).

“Melalui usaha sama juga, sebanyak 99 buah stesen pemancar sediada juga telah berjaya dinaiktaraf ke rangkaian internet 4G. Usaha ini siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2022.

“Antara lokasi yang terlibat adalah Kampung Sungai Berjuang, KLPP Sungai Rengai, Kampung Paya Garok, Felda Kampung Ulu Rentang, Kampung Bukit Ketupat, Kampung Lada, Kampung Bau, Mahawangsa Timber, Kampung Ibol Jaya, Kampung Perak, Kampung Jaya Putra, Kampung Kor, Kampung Padang Saujana, Lepar Utara 3, Sungai Lekuk, Sungai Tekam Utara, Kampung Baru, Kampung Sungai Retang dan banyak lagi,” katanya.

Menurut beliau lagi, semua usaha tambahbaik capaian telekomunikasi ini dilaksanakan Kerajaan Negeri Pahang bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 yang mula dilaksanakan pada Suku Kedua 2020 sehingga penghujung tahun 2022 (dijangka siap) diseluruh negeri Pahang.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan bersyukur kerana semua usaha ini berjalan lancar walaupun berdepan pelbagai cabaran dan dugaan terutama ketika pandemik COVID-19 melanda negara yang telah merencatkan usaha JENDALA terutama logistik (penghantaran) bahan-bahan binaan tidak dapat dilakukan.

Namun semua usaha ini tetap berjalan lancar dan berjaya dilaksanakan malah ada yang telah siap lebih awal dari perancangan asal,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram