Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada mahasiswa.

40,000 MAHASISWA ANAK PAHANG TERIMA MANFAAT BPP

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 30 SEPTEMBER 2022 : Seramai 40,000 mahasiswa anak kelahiran Pahang menerima manfaat daripada Bantuan Prihatin Pahang (BPP) membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM8 juta.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pemberian BPP sebanyak RM200 kepada setiap pelajar ini merupakan galakan kepada mereka agar dapat menuntut ilmu dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih baik.

Menerusi satu hantaran beliau di laman Facebook rasmi miliknya, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, masa hadapan Pahang terletak di atas bahu para pelajar ini untuk membangunkan negeri.

“Tujuan majlis pertemuan bersama para mahasiswa dan mahasiswi ini adalah untuk menyampaikan amanat daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail agar para pelajar dapat belajar betul-betul kerana masa hadapan negeri ini akan dipimpin oleh golongan ilmuan ini.

“Selain itu majlis ini juga bertujuan menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri Pahang sebanyak RM200 seorang dan semoga bantuan ini dapat membantu pembelajaran mereka,” katanya.

Pada Rabu lalu, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim telah menyampaikan BPP kepada 1,500 mahasiswa dan mahasiswi dari UnIPSAS, UCYP, PSDC dan KYP di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Kesemua 40,000 mahasiswa dan mahasiswi anak Pahang yang menerima BPP adalah terdiri daripada pelajar-pelajar di universiti-universiti awam (IPTA), Politeknik dan Kolej Komuniti di seluruh Malaysia.

Pelajar di institusi pengajian tinggi di kalangan anak Pahang yang layak menerima BPP adalah mereka yang masih dalam tempoh pengajian (semester 2 dan ke atas) bertujuan membantu menampung perbelanjaan harian atau perbelanjaan tambahan mereka.

BPP mahasiswa dan mahasiswi ini termasuk di dalam empat kluster penerima manfaat iaitu kluster pelajar & anak muda, golongan B40, kluster umum dan kluster apresiasi. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram