YAM Tengku Panglima Raja Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutup Seminar Pendidikan Fatwa di Hotel Grand Darul Makmur.

PAHANG BERUNTUNG TERIMA SOKONGAN KUAT INSTITUSI DIRAJA BAGI AKTIVITI KEAGAMAAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 22 SEPTEMBER 2022 : Negeri Pahang beruntung mempunyai sokongan kuat Institusi DiRaja Pahang dalam perlaksanaan aktiviti keagamaan di negeri ini.

Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, ini selari dengan konsep raja memayungi rakyat dalam melaksanakan syariah Islam di negeri ini.

“Kita bertuah di Negeri Pahang ini kerana Yang DiPertuan Agong kita, Pemangku Raja (Pahang) kita, Tengku Panglima Raja kita, tidak pernah pejam mata kepada program agama.

“Dan sentiasa meneduh dengan payung yang rendang supaya kita dapat melaksanakan syariah dan akidah yang telah diwariskan oleh junjungan besar Nabi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Pendidikan Fatwa di Hotel Grand Darul Makmur.

Turut hadir merasmikan majlis YAM Tengku Panglima Raja Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, Mufti Pahang, YH. Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Othman; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ybhg. Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusof; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin;YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan Ketua Hakim Syarie Pahang, YH. Dato’ Sri Abdul Rahman Md Yunos.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Pendidikan Fatwa di Hotel Grand Darul Makmur.

Sementara itu, Ybhg. Datuk Hajah Hakimah berkata seminar hari ini amat besar maknanya dalam menggambarkan kepentingan institusi fatwa kepada masyarakat.

“Objektif utama seminar ini dianjurkan adalah untuk memberi penjelasan pandangan hukum dan fatwa yang telah diputuskan oleh badan pengeluar fatwa kepada masyarakat di samping mengangkat kewibawaan fatwa dan mufti-mufti sebagai rujukan serta panduan yang berautoriti dalam masyarakat.

“Seminar seperti ini menjadi peluang bagi agensi fatwa negeri sebagai badan yang bertanggungiawab dalam hal ehwal kefatwaan memberikan penerangan dan menjelaskan isu-isu hukum serta masyarakat yang mempunyai kesamaran dan kemusykilan mendapatkan penjelasan secara langsung,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram