KUALA LUMPUR, 21 SEPTEMBER 2022 : Selepas berjaya meraih dua emas semalam, atlet menembak Pahang, Izzuddin Muhammad Shafri yakin mampu merangkul satu lagi pingat emas dalam acara 50 meter (m) Rifle 3 Positions Men’s Khamis ini.
Izzuddin berkata, beliau bagaimanapun sedar bukan tugas mudah buatnya untuk menghadiahkan pingat emas buat Pahang walaupun telah memenangi dua pingat emas semalam.
Bagaimanapun pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) itu tekad untuk ‘bertempur’ habis-habisan bagi memastikan impiannya dan negeri tercapai.
“Saya tahu ini bukan tugas mudah lebih-lebih lagi atlet menembak dari negeri lain juga mengidam pingat emas, namun saya akan gunakan pengalaman yang ada bagi memastikan impian berkenaan tercapai,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOM) hari ini.
Semalam Izzuddin berjaya memenangi pingat emas menerusi acara 50m Rifle Prone Lelaki Individu dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Lapang Sasar Subang di sini.
Satu lagi emas menerusi acara 50m Rifle Prone Lelaki Berpasukan hasil gandingan Izzuddin, Muhammad Azril Hakim Nor Azman dan Ahmad Zaffin Kushairie Mohd Azman.
Sementara itu, beliau berkata, walaupun kurang berlatih, beliau tetap akan membuat yang terbaik bagi memastikan segala harapan yang diberikan kepadanya dapat diterjemah dalam bentuk kemenangan.
“Ucapan terima kasih kepada jurulatih-jurulatih walaupun saya kurang latihan dan kawan-kawan yang sentiasa memberi sokongan dari awal sampai habis,” katanya. – PAHANGMEDIA