Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
BENTONG, 20 SEPTEMBER 2022 : Keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap perkembangan Pendidikan Islam anak-anak negeri ini diteruskan melalui geran bantuan awal kepada pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang melanjutkan pelajaran ke luar negara.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini juga adalah satu cara Kerajaan Negeri memberi pengiktirafan kepada golongan huffaz di negeri ini.
“Ini adalah salah satu cara kita bagi balik kepada rakyat iaitu melalui pendidikan anak-anak di negeri ini. Selalunya benda sebegini orang tak nampak sedangkan Kerajaan Negeri sentiasa komited membantu dari segi pendidikan pelajar di negeri ini.
“Pahang kini lebih stabil dan ada kewangan yang amat baik untuk bantu rakyat. Pelajar yang terlibat saya harap semua dapat belajar betul-betul dan jadi aset untuk bantu semula negeri dengan ilmu yang ditimba pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Geran Bantuan Pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) ke universiti Timur Tengah di Bilik Jelatek, Awana Hotel Resort World Genting, hari ini.
Turut sama Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, Pengarah Jabatan Islam Pahang (JAIP), YH Dato’ Dr Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz dan Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Encik Abd Razak Abu Musa Saari.
Setiap pelajar menerima RM10,000 seorang sebagai perbelanjaan persediaan melanjutkan pengajian ke universiti Mesir dan Jordan dengan implikasi keseluruhan berjumlah RM100,000.
Lima orang pelajar akan melanjutkan pengajian dalam bidang Qiraat di Universiti Al Azhar, Mesir sementara lima orang lagi akan melanjutkan pengajian dalam bidang Fiqh Wa Usul di Universiti Mu’tah, Jordan.

Kesemua 10 anak Pahang ini, telah pun menghafaz 30 juzuk Al-Quran dan masing-masing memperolehi kecemerlangan dengan pangkat Mumtaz (CGPA 3.70 dan ke atas) Diploma Tahfiz.
Pelajar-pelajar ke Jordan akan menyambung pengajian di peringkat Ijazah selama empt tahun manakala pelajar yang ke Mesir selama tiga tahun pengajian.
Penerbangan ke Jordan dijangka pada 25 September manakala ke Mesir pula pada 2 Oktober 2022. Kesemua tiket penerbangan pelajar ditaja sepenuhnya oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). -PAHANGMEDIA