KUALA LUMPUR 19, SEPTEMBER 2022 : Atlet menembak menghadiahkan emas kelapan buat kontinjen Pahang pada Sukan Malaysia (SUKMA) MSN 2022 hari ini.
Pingat tersebut disumbangkan menerusi gandingan Putera Muhammad Akram Idham Zunaidi, Muhammad Adib Abu Hasaan Ashairi dan Azrul Akmah Zulkefli menerusi acara 25 meter (m) Standard Pistol Berpasukan.
Selain itu, Azrul Akmal Azmi dan Putera Muhammad Akram Idham turut menyumbangkan masing-masing pingat perak dan gangsa menerusi acara 25m Standard Pistol Individu.

Sementara itu, Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain turut menyampaikan Insentif Kemenangan SUKMA kepada pemenang di Lapang Sasar Subang.
Dalam pada itu, Kontinjen Pahang juga meraih satu pingat perak menerusi sukan Tenpin Bowling (Men Double) dan satu pingat gangsa menerusi sukan lawn bowls.
Sehingga kini Pahang berjaya meraih lapan pingat emas, sembilan perak dan 10 pingat gangsa menjadikan jumlah keseluruhan 27 pingat telah dikumpul.
Kontinjen Pahang menyasarkan 33 pingat emas untuk edisi kali ini yang berlangsung mulai 16 September lalu hingga 24 September ini. – PAHANGMEDIA