YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Program Sambutan Hari Orang Asli Sedunia Peringkat Negeri Pahang di Perkampungan Orang Asli Prosdet Pantos Daerah Lipis bertemakan ‘Orang Kita Dihati, Kemakmuran Negeri Dikongsi'

SISTEM PENDIDIKAN ORANG ASLI DI JELAI PERLU DILENGKAPKAN SEHINGGA SPM

Oleh : Fansurina Abdullah

LIPIS, 17 SEPTEMBER 2022 : Kerajaan Pahang meminta agar sistem pendidikan pelajar Orang Asli di kawasan Dewan Negeri (DN) Jelai dapat dilengkapkan sehingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sistem pendidikan di DN Jelai perlu dipercepatkan bagi mengatasi keciciran di kalangan pelajar Orang Asli yang masih mencatatkan peratusan yang tinggi.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Jadi kita minta supaya sekolah di Jelai ini, kita banyak sekolah rendah, ada enam sekolah Orang Asli dan kita minta satu sekolah menengah yang ada pendidikan sampai tingkatan 5 yang ada sekarang hanya sampai tingkatan 3, jadi selepas tingkatan 3 mereka terpaksa pergi bersekolah ke tempat lain dan ini menyusahkan mereka melibatkan kos dan sebagainya.

“Yang paling membimbangkan saya ialah mereka pergi ke sekolah dan apabila pulang ke kampung, mereka enggan kembali semula ke sekolah kerana jaraknya jauh yang dipanggil keciciran transaction.

“Jadi sebab itu saya minta pihak Kerajaan Persekutuan memikirkan untuk menjadikan daripada tingkatan 3 yang ada sekarang ini di Betau kepada tingkatan 5,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Program Sambutan Hari Orang Asli Sedunia Peringkat Negeri Pahang di Perkampungan Orang Asli Prosdet Pantos Daerah Lipis bertemakan ‘Orang Kita Dihati, Kemakmuran Negeri Dikongsi’.

Hadir sama ialah Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Benta, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak, Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Nor, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Malaysia, Puan Hajah Sapiah Dato’ Mohd Nor, Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), YH. Dato’ Olian Abdullah, YB Senator Dato’ Azis Sitin, Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong dan barisan tetamu kehormat.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Program Sambutan Hari Orang Asli Sedunia Peringkat Negeri Pahang di Perkampungan Orang Asli Prosdet Pantos Daerah Lipis bertemakan ‘Orang Kita Dihati, Kemakmuran Negeri Dikongsi’.

Pada majlis sama turut disampaikan sumbangan Kerajaan Pahang berjumlah RM216,500 kepada penerima membabitkan peruntukan rawatan perubatan, keusahawanan, membaiki rumah, aktiviti kesukanan, mempertingkatkan kemudahan sekolah dan sebagainya.

Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan khas berjumlah RM1.688 juta bagi bakul makanan sempena sambutan Hari Orang Asli Sedunia serta bagi menjayakan Program Sambutan Hari Orang Asli Sedunia Peringkat Negeri Pahang.

Sehingga kini Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM1.917 juta sebagai sumbangan kepada masyarakat Orang Asli melibatkan peruntukan kewangan seperti bantuan bencana, kos rawatan, memulakan perniagaan dan pendidikan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram