Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 16 SEPTEMBER 2022 : Kerajaan Pahang telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan pendekatan bagi memperkasakan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan Negeri Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sejak dari tahun 2018 sehingga kini, sebanyak 15 buah masjid baharu telah siap dibina di Pahang dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM58.4 juta ringgit.
“Selain itu, masih terdapat 16 buah masjid yang sedang dalam pembinaan dengan peruntukan sebanyak RM47.1 juta ringgit dan sebanyak 17 buah masjid lagi akan dibina yang melibatkan peruntukan sebanyak RM80 juta ringgit.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhannya melibatkan 48 buah masjid dengan peruntukan sebanyak RM185.5 juta ringgit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pahang Berselawat Sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang 2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.
Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Mufti Pahang, YH. Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Othman.
Sementara itu katanya, Majlis Pahang Berselawat Sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang 2022 disifatkan sebagai salah satu unsur pendidikan kepada orang ramai yang hadir.
Katanya, Kerajaan Pahang amat menyambut baik dan gembira dengan sambutan yang julung kali diadakan di negeri ini.
“Kita telah dididik pada majlis ini, di mana banyak unsur pendidikan untuk kita lebih mengetahui sejarah kerana sejarah tidak pernah berbohong kecuali kita sendiri yang berbohong.
“Seperti mana yang kita lihat pada tayangan tadi, betapa megahnya Islam di Melaka, tetapi atas beberapa faktor dalaman dan sebagainya, kita ditawan oleh penjajah. Dan ada satu mesej yang dapat walaupun sekuat mana pun mereka, kehebatan mereka, tetapi mereka tidak boleh menawan iman orang Islam,” katanya.
Beliau juga turut berharap majlis Pahang Berselawat ini akan diteruskan lagi pada tahun hadapan dan orang ramai memanjatkan doa supaya negara dan negeri berada dalam keadaan aman dan makmur.
Seramai lebih 5,000 orang ramai menyertai majlis ini yang bermula pada 6.45 petang bagi solat Maghrib dan Isyak berjemaah, persembahan selawat dan qasidah, persembahan tayangan montaj, serta ceramah oleh Habib Ali Zeinal Abidin Al-Hamed. -PAHANGMEDIA