YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

KERAJAAN PAHANG SEDIA PERALATAN, KEMUDAHAN BAGI MENGHADAPI BANJIR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 14 SEPTEMBER 2022 : Kerajaan Pahang sentiasa bersedia dalam menghadapi masalah banjir yang berlaku di negeri ini dengan menyediakan peralatan dan kemudahan yang diperlukan di setiap daerah di negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata peralatan dan kemudahan yang sedang dan telah disediakan ini adalah hasil daripada pertemuan bersama Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

“Kita di Pahang ini amalan biasanya kita ada perbincangan, mesyuarat, di mana semua Pengerusi PKOB yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah akan memberi penerangan, penyediaan apa yang mereka usahakan untuk menghadapi banjir.

“Dan baru-baru ini, saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Pengarah JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) serta Pengarah JKR (Jabatan Kerja Raya) bertemu semua pengerusi PKOB untuk berbincang untuk meminimakan atau cara mengatasi masalah banjir ini sebab di Pahang ia (banjir) dah jadi bencana tahunan.

“Dalam perbincangan tersebut, saya telah meminta mereka (pengerusi PKOB) memaklumkan apakah punca banjir, isu semasa banjir, dan cara mengatasi banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Surat Tahniah dan Wang Pendahuluan Pelajar Tahun Ketiga Program KYP-Yarmouk University,Jordan di Wisma Sri Pahang.

Beliau berkata bagi tujuan mengatasi banjir dan memudahkan urusan kawasan terlibat banjir, Kerajaan Pahang telah memperuntukan RM47 juta bagi tujuan melibatkan kesemua 11 daerah.

“Bagi tujuan tersebut, ada kerja-kerja dalam pembinaan, dan ada juga yang telah siap. Sebagai contoh, di Lipis mereka membangkitkan bila banjir terputus hubungan bagi menghantar bekalan, jadi mereka memerlukan helipad.

“Ada daerah yang minta bot, pun kita bagi. Ada yang minta Pusat Pemindahan Kekal (PPK) yang lebih selesa, kini sedang di buat di Maran. Kalau di Cameron Highlands mereka minta sistem mengesan gerakan tanah, pun kita dah bagi.

“Ini bukan kata kita selesaikan masalah banjir, tapi sekurang-kurangnya kita dapat membantu meminimakan sekiranya berlaku kejadian banjir,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Pahang turut memberi peruntukan bagi penduduk kampung menyertai kursus menyelamat sekiranya berlaku banjir di kawasan mereka. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram