YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama 15 pelajar Kolej Yayasan Pahang yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Yarmouk, Jordan pada Majlis Penyampaian Surat Tahniah dan Wang Pendahuluan Pelajar Tahun Ketiga KYP-Yarmouk Universiti, Jordan di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.

KERAJAAN PAHANG SUMBANG USD15,000 KEPADA PELAJAR KYP-YARMOUK UNIVERSITY

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 14 SEPTEMBER 2022 : Kerajaan Pahang memberikan sumbangan sebanyak USD 15,000 kepada 15 pelajar Kolej Yayasan Pahang (KYP) yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Yarmouk, Jordan.

Sumbangan yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kepada para pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah (Ekonomi dan Perbankan Islam) hari ini pada Majlis Penyampaian Surat Tahniah dan Wang Pendahuluan Pelajar Tahun Ketiga Program KYP-Yarmouk University,Jordan di Wisma Sri Pahang.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan surat tahniah dan wang pendahuluan pelajar tahun ketiga KYP-Yarmouk Universiti, Jordan kepada Encik Muhammad Irfan Rosdi di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.

Beliau dalam pertemuan singkat bersama para pelajar tersebut juga turut mengingatkan mereka yang akan bertolak ke sana pada 25 September ini supaya belajar bersungguh-sungguh dan menjaga nama negeri Pahang.

Sementara itu, salah seorang pelajar terlibat, Cik Labiba Ahmad Kusairi, 20, berkata sumbangan yang diberikan Kerajaan Pahang ini dapat membantu menampung perbelanjaan mereka di Jordan nanti.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan surat tahniah dan wang pendahuluan pelajar tahun ketiga KYP-Yarmouk Universiti, kepada salah seorang pelajar yang akan ke Universiti Yarmouk di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.

“Saya sangat bersyukur sebab sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu kami para pelajar untuk menyara kehidupan di sana (Jordan) sebab kami pun bukanlah dari keluarga yang senang.

“Tambahan kadar duit di sana agak tinggi sekarang, jadi bila Menteri Besar dah bagi USD1,000 dan ia dapat kami gunakan untuk perbelanjaan kami meliputi rumah dan belajar di sana,” katanya yang menetap di Maran.

Cik Labiba Ahmad Kusairi.

Sementara itu, menurut Encik Muhammad Irfan Rosdi, 20, berkata dia bersyukur dengan sumbangan yang diterima kerana bukan semua pihak mendapat peluang seperti ini.

“Bersyukurlah sebab bukan semua orang dapat ini (sumbangan) dan bila dapat sumbangan ini saya dan kawan-kawan dapat menambah sedikit wang perbelanjaan masa di sana.

“Mak dan ayah juga turut bersyukur kerana ia mereka (mak ayah) dan keluarkan banyak kos persediaan bagi saya ke sana,” katanya yang menyifatkan pembelajarannya ke Jordan ini seolah memenuhi hasrat ibunya yang mahu melihat anaknya melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Program di bawah KYP ini memerlukan pelajar mengikuti Kursus Intensif Bahasa Arab
(KIBA) terlebih dahulu selama 4 bulan sebelum mengikuti pengajian selama 2 tahun di KYP dan 2 tahun lagi di Universiti Yarmouk, Jordan.

Sejak tahun 2005, Yayasan Pahang telah menawarkan kepada seramai 402 anak Pahang bagi mengikuti program ini dengan penajaan
pinjaman berjumlah RM82,000 seorang bagi tempoh pengajian selama 4 tahun dan seramai 331 orang telah pun berjaya menamatkan pengajian mereka. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram