KADAR LIPUTAN 4G TEMERLOH MENINGKAT 10 PERATUS KEPADA 96.02 PERATUS

Oleh : Ain Nadhirah Basha

TEMERLOH, 13 SEPTEMBER 2022 : Kadar liputan 4G di Temerloh telah mencapai peningkatan 10 peratus kepada 96.02 peratus setakat suku kedua tahun ini berbanding 86.02 peratus pada tempoh sama tahun 2020.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata peningkatan kadar liputan di kawasan berpenduduk ini adalah hasil pembinaan menara baharu di daerah berkenaan.

“Dibawah Fasa 1 JENDELA dilaksanakan bermula 2020 sehingga 2022, sebanyak 13 menara baharu akan dibina di Temerloh dimana sehingga kini dua menara telah pun siap pada 2021 yang terletak di Kampung Charuk Puting dan Kampung Bolok Hilir di sini.

“Empat menara lagi sedang dalam pemasangan menara dan kerja-kerja awal pembinaan iaitu di Kampung Gantok, Kampung Paya Ladang, Kampung Belengu dan Kampung Sungai Kepong.

“Manakala baki tujuh menara sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan seperti perolehan tapak, kelulusan PBT dan sebagainya yang terletak di Kampung Tanjong Danolang, Kampung Teluk Sabak, Kampung Pulau Raya, Sempadan, Kampung Sungai Kepong, Taman Sri Belengu, Jalan Institut Biodiversiti Lanchang dan sebagainya yang juga memberi kesan liputan ke kawasan yang berhampiran,” katanya.

Beliau peningkatan kadar liputan tersebut juga hasil daripada proses menaiktaraf 63 stesen pemancar di seluruh daerah Temerloh serta capaian Internet Teknologi Satelit yang memanfaatkan Kampung Orang Asli.

“Manakala, naik taraf stesen pemancar sedia ada di daerah Temerloh ke rangkaian 4G di 63 lokasi telah pun siap melibatkan lokasi-lokasi seperti Lanchang, Pekan Kerdau, Batu Sawar, Gong Halt, LPT5, LPT6, Jengka 23, Bukit Damar, Felda Lakum, Lebak, Tekal, Jenderak Utara, IKBN Temerloh, Rumpun Makmur dan sebagainya.

“Selain daripada itu, dua Kampung Orang Asli (KOA) di Temerloh iaitu di KOA Paya Sendayan dan KOA Bukit Negeri telah menerima Internet Teknologi Satelit (BWA) yang telah beroperasi semenjak April 2022 dimana projek ini menawarkan perkhidmatan internet secara percuma kepada Orang Asli selama dua tahun.

“Manakala bagi perkhidmatan internet talian tetap premis-premis di daerah Temerloh, sehingga Suku Kedua 2022 sebanyak 27,535 premis telah tersedia dengan rangkaian gentian optik. Usaha Ini adalah peningkatan sebanyak 15,705 premis yang berjaya dilaksanakan semenjak JENDELA dimulakan pada Suku Kedua 2020 lalu,” katanya.

Menurut beliau lagi, kadar liputan di daerah Temerloh juga akan terus meningkat daripada kadar semasa apabila semua projek JENDELA Fasa 1 siap sepenuhnya bermula penghujung tahun ini sehingga pertengahan tahun hadapan.

“Peningkatan ini berikutan usaha tambahbaik yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Pahang bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Bagi memastikan pelaksanaan JENDELA memberi impak dan benar-benar dirasai oleh masyarakat, pihak SKMM mengalu-alukan segala maklumbalas atau aduan berkaitan perkhidmatan komunikasi yang tidak memuaskan dilokasi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata sekiranya terdapat sebarang masalah dan aduan, orang ramai boleh menyalurkan semua aduan kepada saluran aduan di pautan SKMM di https://aduan.skmm.gov.my/ -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram