Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen 2022 Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) dan Sambutan 30 Tahun Institut Kemajuan Ikhtisas Pahang (IKIP)/Kolej Yayasan Pahang (KYP) dan UCYP di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.

KONSEP ESG PERLU DIPERKASA DALAM TADBIR URUS

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 10 SEPTEMBER 2022 : Konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) merupakan aspek penting yang perlu diperkasa dalam tadbir urus sesebuah organisasi.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj bertitah konsep berkenaan boleh dijadikan sebagai penanda aras organisasi, negeri, mahupun negara.

“Kita dapat melihat bahawa dunia kini semakin mencabar dan berevolusi menuju kepada satu keadaan yang sangat sukar dijangka. Ini ditakrifkan sebagai B.A.N.I iaitu brittle, anxious, non-linear, and incomprehensible. Jika diterjemahkan ianya bermaksud rapuh, penuh kebimbangan, tidak linear, dan semakin sukar difahami.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj

“Kita boleh mengambil contoh daripada isu bencana alam. Sebelum ini kita jarang mendengar berkenaan debris flood yang melanda dengan teruk di negara kita.

“Namun beberapa bulan lalu, kawasan tanah tinggi kita di sekitar jajaran Banjaran Titiwangsa telah diancam oleh banjir seumpama ini dengan kawasan-kawasan yang tidak pernah banjir turut telah ditenggelami air akibat bencana tersebut,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa menyempurnakan Istiadat Konvokesyen 2022 Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) dan Sambutan 30 Tahun Institut Kemajuan Ikhtisas Pahang (IKIP)/Kolej Yayasan Pahang (KYP) dan UCYP di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah hari ini. 

Turut berangkat, YAM Tengku Panglima Raja Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga merupakan Pro-Canselor UCYP.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang yang juga Pro-Canselor UCYP, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Naib Canselor UCYP, YH Prof Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman; Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda dan Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Seri Paduka Baginda dalam titah baginda turut melahirkan rasa tertarik dengan inisitif Fiqh Al-Watan sebagai tatacara kehidupan bertanah air yang diperkenalkan oleh UCYP melalui institut peradaban Islam.

“Inisiatif Fiqh Al-Watan yang berpandukan kepada tiga prinsip utama iaitu kedaulatan raja dan agama, kerukunan masyarakat, dan kelestarian alam sekitar ini bakal menjadi pemangkin ke arah penghayatan nilai hidup yang lebih harmoni lagi bertatasusila.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen 2022 Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) dan Sambutan 30 Tahun Institut Kemajuan Ikhtisas Pahang (IKIP)/Kolej Yayasan Pahang (KYP) dan UCYP di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.

“Kini pihak UCYP telah pun memulakan inisiatif membangunkan kursus-kursus pendek dalam bentuk micro-credential yang memfokuskan kepada aspek kelestarian alam sekitar, pendigitalan, dan pengurusan organisasi.

“Ianya adalah usaha untuk menjadikan isu penjagaan alam sekitar, literasi digital, dan tadbir urus berkesan menjadi satu perkara yang perlu dititikberatkan di dalam masyarakat dan institusi.

“Untuk mencapai ESG negara yang mantap, peranan graduan amatlah penting ke arah memimpin organisasi dan masyarakat menjadi lebih mampan dan berdaya saing,” titah Seri Paduka Baginda.

Baginda dalam titah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak pentadbiran UCYP yang telah mendapat kelulusan penubuhan sebagai sebuah universiti penuh pada 6 Ogos lepas. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

This will close in 0 seconds