Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 09 SEPTEMBER 2022 : Kerja penyelenggaraan paip bagi bekalan air mentah yang pecah di Mahkota Golf and Country Club (MGCC) merupakan punca gangguan bekalan air yang berlaku di daerah ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), YBhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata pihaknya telah mengenalpasti masalah yang berlaku dan kini sedang dalam proses menyelesaikan masalah ini.
“Kita mahukan (masalah ini selesai) secepat mungkin. Dan kita akan cuba kurangkan tempoh pembaikan kita sehabis pendek.
“Ia juga (kini) dapat dipendekkan lagi (masa pembaikan) setelah kita tahu berapa dalam paip lama yang pecah di MGCC ini. Sebelum ini kita cuma mampu korek dan menganggarkan sahaja sebelum menemui puncanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan tapak bagi kerja-kerja Penyelenggaraan Paip Air Mentah di Mahkota Golf And Country Club (MGCC) dan taklimat ringkas di Ibu Pejabat PAIP.
Beliau berkata, pihaknya juga memerlukan ketelitian yang tinggi bagi pemasangan cerucuk besi di kawasan berlakunya paip pecah tersebut.
“Laluan paip ini ditanam dengan kedalaman antara 8 meter hingga 10 meter dan ia mengambil masa kerana nak pasang cerucuk kepingan besi sahaja, lebih 16 jam diperlukan.
“Dan kami juga mengalami masalah luar jangka di mana kedalaman paip ini melebihi panjang jengkaut yang kami gunakan menyebabkan kami perlu membina pelantar selain faktor cuaca dan kerosakan peralatan,” katanya.
Beliau berkata sekiranya ada penutupan kembali bagi kerja-kerja pembaikan paip ini, pihaknya akan menghantar lori tangki air ke kawasan terjejas.

“Kita menandatangani MoU dengan syarikat-syarikat operator (air) yang lain, di mana PAIP sendiri bilamana berlakunya krisis di negeri lain, kita membantu.
“Kita tak ada masalah dengan syarikat air yang lain, saya akan minta bantuan dengan SPAN dan syarikat air yang lain untuk bantu kita. Saya anggarkan lebih kurang 100 lori tangki diperlukan untuk tujuan ini,” katanya.
Menurut beliau lagi, pihaknya sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin kerana memahami kesukaran yang dihadapi orang ramai.
“Kita mahukan (masalah ini selesai) secepat mungkin. Dan kita akan cuba kurangkan tempoh pembaikan kita sehabis pendek.
“Ia juga kini dapat dipendekkan lagi setelah kita tahu berapa dalam paip lama yang pecah di MGCC ini. Sebelum ini kita cuma mampu korek sebelum menemui puncanya,” katanya.
Menurutnya lagi, pihaknya juga akan menutup sepenuhnya laluan air di MGCC ini memandangkan ianya merupakan paip bersaiz lama dan juga berada di tanah persendirian.
“Kita akan tutup terus paip di sini (MGCC), ia adalah paip lama. Tak ada saiz dah sekarang ini kerana ia paip dari tahun 1980-an dahulu.
“Kita akan tutup sepenuhnya laluan di sini dan alihkan ke laluan baharu sehingga ke Semambu dengan jarak lebih kurang 13 kilometer selepas ini,” katanya. -PAHANGMEDIA