LIPUTAN INTERNET 4G DI RAUB MENINGKAT 90.01 PERATUS

Oleh : Mahathir Ali

RAUB, 8 SEPTEMBER 2022 : Sebanyak 23 menara baharu sedang dibina di Daerah Raub bagi memperluas dan meningkatkan lagi perkhidmatan internet di seluruh negeri Pahang melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, semua menara tersebut adalah sebahagian dari 25 menara yang telah dirancang dalam usaha bersama Kerajaan Pahang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Pelan JENDELA Fasa 1 bermula pada suku kedua tahun 2020 hingga penghujung tahun 2022, dimana 25 menara baharu dirancang dibina di Raub dimana dua daripadanya telah siap pada tahun 2021 iaitu yang terletak di Taman Dato’ Tg Paris dan Kg Ulu Atok di sini.

“Baki lagi 23 menara kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan seperti perolehan tapak melibatkan tanah Kerajaan Negeri manakala kerja-kerja asas tapak menara telah banyak dilakukan.

“Melalui usaha JENDELA juga sebanyak 54 Stesen Pemancar sediada di Daerah Raub telah dinaiktaraf kepada rangkaian 4G. Manakala terdapat dua (2) Kampung Orang Asli (KOA) kini telah mendapat perkhidmatan Internet Teknologi Satelit (BWA) yang diberikan secara percuma untuk dua tahun.

“Manakala bagi usaha menyedikan perkhidmatan internet talian tetap di premis-premis sebanyak 5,427 premis di Raub hari ini telah tersedia dengan rangkaian gentian optik.

“Usaha sedang dijalankan untuk menyediakan rangkaian gentian optik di lebih banyak lagi kawasan sekitar Raub seperti di Taman Raub Jaya 5, Taman Sri Raub, Sempalit Raub, Tmn Emas Raub, Kg Baru Tras, Taman Seroja, Kg Luit, Taman Sentosa, Taman Bunga Raya, Tmn Melewar, Taman Anggerik, Taman Matahari, Taman Raub Jaya 6, Taman Sri Sempalit, Taman Baru Sempalit, Kg Baru Sempalit dan lain-lain,” katanya.

Jelas beliau lagi, dengan status semasa pelaksanaan semua projek JENDELA ini, data terkini pihak SKMM menunjukkan kadar liputan 4G di kawasan yg berpenduduk telah meningkat daripada 73.12% iaitu (pada Suku Kedua 2020, sebelum JENDELA bermula) kepada 90.01% pada Suku Kedua 2022 tahun ini.

“Kadar ini dijangka terus meningkat apabila semua projek JENDELA ini siap dilaksanakan nanti dimana ianya dijadualkan akan siap berperingkat bermula Oktober 2022 sehingga pertengahan tahun 2023 nanti.

“Pengarah Negeri SKMM Pahang, Hj Faisal Md Nor telah melaporkan progres terkini JENDELA Daerah Raub selepas lawatan kerja ke Pusat Internet Digital Ekonomi Keluarga Malaysia ( PEDi) Lembah Kelau dan KOA Sg Temir di Raub yang juga merupakan antara lokasi pelaksanaan internet jalur lebar satelit percuma untuk Kampung Orang Asli baru-baru ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram