Oleh : Mahathir Ali
Foto : Mahathir Ali
PEKAN, 5 SEPTEMBER 2022 : Permainan PUBG atau Esports sememangnya memerlukan liputan internet yang baik dan stabil malah sukan tersebut semakin berkembang maju di negeri ini dengan penyediaan perkhidmatan internet yang terbaik.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, usaha bagi meningkatkan liputan internet di seluruh negeri Pahang ini dilaksanakan melalui pelaksanaan pelan JENDELA melibatkan usaha sama Kerajaan Pahang dan SKMM termasuklah di pedalaman dan perkampungan Orang Asli.
“Di Pekan sahaja, sebanyak 22 menara baharu akan dibina dan 126 stesen pemancar akan dinaik taraf ke rangkaian 4G manakala sebanyak 2,099 premis akan disediakan dengan capaian rangkaian gentian optik melalui Pelan JENDELA Fasa 1 yang dijangka siap tidak lama lagi.

“Malah saya juga menubuhkan PahangGo sebuah aplikasi pelbagai guna sebagai sumber ekonomi digital masa hadapan negeri Pahang. InshaAllah, saya akan berbincang bagaimana Pahang Go dapat pula memudahkan urusan pemain Esports/ PUBG seperti cadangan yang dikemukakan berkenaan pembelian Topup UC/ Diamond melalui PahangGo dengan harga lebih murah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Kejohanan PUBG (Sukan Esports) Piala YAB Menteri Besar Pahang Peringkat Daerah Pekan 2022, di sini.
Dalam pada itu beliau berkata, setiap usaha berkenaan pembangunan sukan Esports di kalangan belia di negeri ini turut mendapat sokongan daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail.
“Banyak peruntukkan yang beliau salurkan untuk anak muda sama ada kepada persatuan dan kelab, perniagaan anak muda, pertandingan sukan dan sebagainya. Kejohanan ini antara bukti beliau amat prihatin dengan minat anak-anak muda kita.
“Kita juga harus berterima kasih kepada Kerajaan Pahang ini. Kejayaan, kemajuan dan kemakmuran hari ini tidak mungkin kita nikmati jika mempunyai kerajaan yang tidak stabil dan tidak mampu untuk mengurus ekonomi dengan baik. Maka, anak muda perlu bersyukur dan pertahankanlah Kerajaan BN Pahang yang terbukti sejak dahulu hingga ke hari ini mampu membawa kejayaan yang kita dinikmati ini,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM5000 untuk Persatuan Esports Pekan bagi pembelian komputer dan RM5000 lagi untuk baik pulih pejabat dan meningkatkan fasiliti demi kemudahan anak muda Pekan yang terlibat sukan Esports ini.
“Semua sumbangan ini diluluskan Menteri Besar Pahang dengan harapan semoga Persatuan Esport Pekan dapat melahirkan lebih ramai anak muda yg berwibawa dan maju pada masa akan datang,” katanya – PAHANGMEDIA