YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melihat seorang kanak-kanak melakukan aktiviti ketika Majlis Perasmian Karnival Saham Pahang bersama Bursa Malaysia di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang, hari ini.

KARNIVAL SAHAM PAHANG BANTU RAKYAT CELIK PELABURAN

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 3 SEPTEMBER 2022 : Tahap kesedaran dalam sektor pelaburan saham dalam kalangan penduduk di negeri ini masih rendah dan menduduki tempat ke sepuluh dalam negara berkaitan jumlah akaun saham berbanding negeri lain.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berdasarkan maklumat daripada Bursa Saham, sehingga Julai 2022 jumlah akaun Central Depository System (CDS) di Pahang hanya 2.45 peratus dari keseluruhan jumlah akaun di Malaysia iaitu sebanyak 2,770,530.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Kesedaran perlu ditingkatkan supaya orang ramai boleh mengambil peluang terbabit lebih aktif dalam pasaran saham dan pelaburan. Sebab itu kita minta atur program Karninal Saham ini, kita nak bagi kesedaran dan target (sasaran) kita nak naik dari nombor sepuluh ke nombor lima.

“Apa yang penting ialah rakyat Pahang melabur di tempat yang betul, apa yang kita nak kalau boleh sebagai individu nak pulangan lebih baik. Di Bursa Malaysia, kalau kita mendalami atau kaji betul-betul, boleh dapat pulangan yang lebih baik dalam pasif investment ni. Terpulang pada kita lah.. yang penting kita kena ada ilmu (pelaburan).

“Program ini sangat baik, saya tengok ramai yang daftar dan saya percaya kita boleh capai sasaran untuk berada di tempat kelima nanti,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Perasmian Karnival Saham Pahang bersama Bursa Malaysia di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Perasmian Karnival Saham Pahang bersama Bursa Malaysia di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan I, YB Dato’ Indera Encik Mohd Shahar Abdullah, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH Dato’ Mahmud Mohd Nawawi serta barisan Exco Negeri Pahang.

Sementara itu, Tan Sri Abdul Wahid Omar dalam ucapannya berkata, keadaan pasaran semasa sejak kebelakangan ini tidak menghalang aktiviti pengumpulan dana dalam pasaran domestik di Malaysia.

“Sehingga Julai lalu, sejumlah RM6.3 bilion berjaya diperoleh melalui pasaran ekuiti. Ini bermakna aktiviti pengumpulan dana kekal teratur walaupun berdepan cabaran keadaan semasa pasaran.

“Pengembangan berterusan ini juga menyediakan peluang simpanan alternatif dan segmen pelaburan lebih luas, terutamanya kepada sektor peruncitan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sehingga akhir tahun lalu, jumlah pasaran modal domestik bernilai RM1.79 trilion direkodkan atau 116 peratus daripada jumlah keseluruhan keluaran dalam negara kasar (KDNK). -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram