KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memberi tabik hormat kepada kontinjen daripada Tentera Laut Diraja Malaysia ketika Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 Peringkat Negeri Pahang di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 4, Kemunting, Kuantan hari ini.

KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG BERANGKAT MERIAHKAN SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE-65 PERINGKAT NEGERI PAHANG TAHUN 2022

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 31 OGOS 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Teguh Bersama’.

Pada sambutan kali ini, seramai lebih 5,000 pengunjung membanjiri Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 4, Kemunting di Kuantan yang berkumpul seawal jam 7 pagi bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2022 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur.

KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 Peringkat Negeri Pahang di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 4, Kemunting, Kuantan hari ini.

Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak, barisan Exco Kerajaan Pahang dan tetamu-tetamu kehormat.

Sambutan kemerdekaan kali ini diterjemahkan melalui tiga segmen iaitu gabungan pergendangan muhibah pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India selain deklamasi puisi oleh cucu pahlawan Mat Kilau, Tuan Haji Mohd Al Hamadi Abu Bakar dan diikuti Gerak Seni Bela Diri daripada pesilat negara, Mohd Al Jufri Jamari.

Kontinjen daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang yang menyertai Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 Peringkat Negeri Pahang di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 4, Kemunting, Kuantan hari ini.

Sambutan kemerdekaan kali ini turut mempersembahkan perarakan daripada 126 kontinjen melibatkan seramai 3,102 orang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, pasukan badan beruniform, pancaragam sekolah serta perarakan kenderaan dan kelab.

Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan ke-65 turut mempersembahkan aksi pertunjukan udara lima pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sukhoi SU30MKM.

KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Pahang pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 Peringkat Negeri Pahang di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 4, Kemunting, Kuantan hari ini.

Sambutan kemerdekaan ini diakhiri dengan gabungan lagu tema “Keluarga Malaysia, Teguh Bersama” yang dijayakan oleh pelajar-pelajar sekolah menengah dan rendah seluruh Pahang.

Kemeriahan sambutan kali ini menunjukkan semangat perpaduan Keluarga Malaysia dan keterujaan dalam meraikan Hari Kebangsaan 2022. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram