YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama penerima pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Fasa 2 2022, Kluster Ibu Tunggal di Dewan Akademi Usahawan Tani Pahang di Maran.

KERAJAAN PAHANG NAIKKAN JUMLAH BANTUAN BPP IBU TUNGGAL TAHUN DEPAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

MARAN, 26 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang mengumumkan akan menaikkan jumlah Bantuan Prihatin Pahang (BPP) bagi kluster ibu tunggal kepada RM300 bermula tahun hadapan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini disebabkan Kerajaan Pahang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

“InsyaAllah kita akan teruskan (bantuan) dan tingkatkan lagi (jumlah bantuan)… kita akan tambah lagi apa yang boleh kita buat mengikut keupayaan kedudukan kewangan kita,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang kepada seorang penerima pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Fasa 2 2022, Kluster Ibu Tunggal di Dewan Akademi Usahawan Tani Pahang di Maran

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Fasa 2 2022, Kluster Ibu Tunggal di Dewan Akademi Usahawan Tani Pahang di sini.

Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Maran, YB. Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Haji Abd. Muttalib; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Sentul, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda.

Hadir sama, Presiden Persatuan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia merangkap Pengerusi Pertubuhan Ibu Tunggal Negeri Pahang, YH. Dato’ Hajah Melati Ali; dan Pegawai Daerah Maran, YH. Dato’ Sharuddin Jali.

Beliau berkata Kerajaan Pahang boleh menambah nilai BPP meliputi kesemua kluster ini disebabkan kutipan hasil yang memberangsangkan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Sehingga semalam (25 Ogos), dah dapat (kutipan hasil) sebanyak RM903 juta hasil Kerajaan Negeri tanpa membebankan rakyat.

“Maknanya kita nak cari lagi RM97 juta lagi nak jadikan RM1 bilion mengikut sasaran yang ditetapkan Kerajaan Negeri sebelum ini,” katanya.

Seramai 582 ibu tunggal di daerah Maran dan 75 penerima Skim Tanah Rakyat (STR) Bukit Lada menerima bantuan dan geran mereka yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram