Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 25 OGOS 2022 : Penjawat awam di negeri ini bakal menikmati jumlah bonus yang lebih berbanding tahun lalu jika Kerajaan Negeri berjaya mencapai kutipan hasil RM1 bilion.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail berkata, perkara berkenaan boleh dipertimbangan atas dasar cakna tentang kebajikan penjawat awam yang sentiasa setia berkhidmat untuk kerajaan.
“Misalnya pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah memberi saguhati kepada setiap penjawat awam Negeri Pahang berjumlah RM1,200 manakala sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pula Kerajaan Negeri turut memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri berjumlah RM1,200 juga.

“InsyaAllah saya dah cakap dengan YB Setiausaha Kerajaan Pahang, dengan YB Pegawai Kewangan Negeri, kalau kita berjaya capai sasaran tahun ini yang berbaki lagi RM110 juta itu, kita akan bagi lebih dari sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Penjawat Awam Negeri Pahang Bersama YAB Menteri Besar Pahang anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Negeri Pahang di Auditorium Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.
Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Yang DiPertua Dewan Negeri, YB Dato’ Sri Haji Ishak Muhammad; YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar serta barisan Exco Negeri Pahang.
Hadir sama Presiden CUEPACS Malaysia, Datuk Adnan Mat serta Pengerusi CUEPACS Pahang, Encik Maliki Omar.
Dalam pada itu beliau berkata, peranan penjawat awam sememangnya sangat penting sebagai jentera pentadbiran atau kuasa eksekutif bagi membantu melaksanakan dasar-dasar dan keputusan kerajaan demi mencapai segala objektif dan matlamat negara.

“Saya berharap agar Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVII) Tahun 2022 pada 30 Ogos ini akan memberi sinar buat penjawat awam di seluruh negara yang kini terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Besarlah harapan saya, semoga dengan inisiatif atau ganjaran yang akan diumumkan nanti ia dapat menyuntik semangat kepada tuan-tuan dan puan-puan semua untuk terus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik buat rakyat dan negara.
“Ingatlah, walau apa pun rintangan yang kita hadapi dalam negara kita, saya menyeru anggota perkhidmatan awam untuk terus berusaha meningkatkan kualiti, produktiviti serta integriti perkhidmatan masing-masing,” katanya.
Beliau turut yakin kejayaan mampu dicapai jika sikap sentiasa hormat-menghormati dan berganding bahu antara satu sama lain terutamanya dalam bidang perkhidmatan awam yang semakin mencabar. – PAHANGMEDIA