YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Persiapan Veteran PRU-15 dan Amanat Menteri Besar Pahang di Dewan Rasmi Kediaman Menteri Besar di Kuantan.

VETERAN UMNO PAHANG MAMPU BANTU HADAPI PRU-15

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 24 OGOS 2022 : Kejayaan pentadbiran Negeri Pahang yang diterajui Barisan Nasional (BN) mampu memberi keyakinan kepada rakyat untuk memilih parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 nanti.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri pimpinan UMNO ini turut mendapat sokongan ahli-ahli termasuk veteran UMNO sendiri.

“Hari ini kita buat satu program melibatkan semua kepimpinan dan ahli veteran UMNO untuk bagi suntikan semangat dan apa yang penting kita hargai mereka dari dulu sehinggalah bergelar veteran sekarang ini. Saya percaya mereka boleh menyumbang untuk parti,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Persiapan Veteran PRU-15 dan Amanat Menteri Besar Pahang di Dewan Rasmi Kediaman Menteri Besar di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Veteran UMNO Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Ishak Muhamad, Timbalan Pengerusinya, Dato’ Haji Zulkifli Othman bersama ahli jawatankuasa, barisan Exco Negeri Pahang, Setiausaha Politik kepada YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Tajul Razi Abdul Aziz serta ahli-ahli Veteran UMNO Pahang.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menegaskan bahawa Pahang sentiasa bersedia untuk menghadapi PRU yang akan datang.

“Kita sentiasa bersedia dari dulu lagi, sebab itulah kalau kita tengok gerak kerja Negeri Pahang sentiasa menumpukan aspek kebajikan rakyat serta mendekati rakyat.

“Kita tak pernah menunggu di saat-saat akhir malah kerja kita untuk rakyat bersifat semasa dan berterusan tanpa mengira sebarang kepentingan, asalkan nasib rakyat sentiasa terbela,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram