Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
LIPIS, 24 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam proses menyiapkan enam lagi projek bagi menyelesaikan masalah bekalan air di seluruh negeri ini menjelang hujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, YBhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, kesemua enam projek yang sedang dilaksanakan ini adalah sebahagian daripada 11 projek yang telah dan sedang dijalankan di negeri ini.
“Sehingga kini, pihak PAIP telah menyiapkan lima projek iaitu projek naiktaraf peralatan mekanikal dan elektrikal di LRA (Loji Rawatan Air) Seberang Tembeling; projek naiktaraf mukasauk di LRA Seberang Tembeling, kedua-duanya di Jerantut.
“Seterusnya projek naiktaraf sistem agihan di Bukit Koman, Raub; projek pemasangan pam di Kampung Gemuruh, Pekan; dan projek penggantian paip di Kampung Bolok Hilir, Temerloh.
“Enam lagi bilangan projek yang dijangka disiapkan dalam tahun ini, dengan purata pembangunan semasa melebihi 60 peratus ialah projek pemasangan pam di rumah pam Kobat, Kuantan; LRA Karak Fasa 2, Bentong; pemasangan pam air bersih di LRA Belimbing, Pekan; naiktaraf sistem rawatan di LRA Seberang Tembeling, Jerantut; pemasangan kabel di mukasauk LRA Bera Kompleks, Bera; dan pemasangan paip dari Sungai Koyan ke Tanjung Gahai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program CSR Kerajaan Negeri Pahang dengan Kerjasama PAIP di Dewan Orang Ramai Kampung Lubuk Kulit di sini.
Turut hadir, Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Pahang, Encik Fadzli Mohamed Kamal.
Beliau berkata, kesemua 11 projek ini dianggarkan menelan perbelanjaan sebanyak RM12 juta ini adalah sebahagian daripada 35 projek PAIP yang diberi keutamaan.
“Ini adalah sebahagian projek yang dijangka selesai dalam tempoh lima tahun kerana projek-projek yang dijalankan oleh PAIP mengambil tempoh yang agak lama untuk diselesaikan disebabkan beberapa faktor seperti kedudukan LRA, penggantian paip dan lain-lain.
“Ia juga meliputi keseluruhan negeri Pahang, secara menyeluruh, tidak hanya tertumpu kepada satu-satu kawasan sahaja,” katanya. -PAHANGMEDIA