VSAT (Internet Berkelajuan Tinggi) yang dipasang pada Balairaya di KOA Rening.

KADAR LIPUTAN 4G CAMERON HIGHLANDS KINI MENINGKAT 86.94 PERATUS

KUANTAN, 19 OGOS 2022 : Kadar liputan 4G di kawasan yang berpenduduk di Cameron Highlands kini telah meningkat daripada 54.43 peratus pada Suku Kedua 2020 kepada 86.94 peratus pada Suku Kedua 2022.

Kadar ini dijangka akan terus meningkat apabila semua projek dibawah JENDELA siap sepenuhnya yang disasarkan pada penghujung tahun 2022 ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sebanyak 23 menara baharu akan dibina, dua telah siap iaitu di Pos Lemoi dan Kg Telimau.

Meninjau lokasi tapak menara baharu di Kuala Terla, Cameron Highlands.

“Manakala baki 21 menara sedang dalam peringkat pelaksanaan. Antara lokasi pelaksanaan menara baharu adalah di Kg Abu, KOA Panngen, Kg, Leryar, Habu, KOA Kuala Boh, Jln Ringlet/Sg Koyan, Bertam Valley Farm, Blue Valley 3, Kg Raja, PPRT Lembah Bertam, Sg Burung, Perumahan Makmur Blue Valley Jaya dan banyak lagi.

“Bagi kerja naik taraf stesen pemancar, sebanyak 14 stesen pemancar telah ditetapkan untuk dinaik taraf ke rangkaian 4G dimana semuanya telah pun siap dinaiktaraf.

“Selain daripada itu, sebanyak lapan Kampung orang asli di Cameron Highlands telah mendapat manfaat daripada projek internet jalur lebar satelit yang siap April lalu dimana penduduk kampung OA tersebut kini dapat menikmati internet jalur lebar berkelajuan tinggi secara percuma bagi tempoh dua tahun ini,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Beliau berkata, demi kepentingan pelaksanaan projek JENDELA, maka saya telah meminta SKMM Pahang bersama wakil Pahang Corp, Koridor Utiliti Pahang (KUP) dan Syarikat Edotco (dilantik SKMM, pembinaan menara Daerah Cameron Highlands) serta Numix (syarikat dilantik SKMM bagi melaksana projek internet jalur lebar satelit di KOA) untuk turun padang meninjau semua usaha Jendela di Cameron Highlands dan memberi penerangan kepada wakil penduduk.

“Semasa lawatan tersebut, Abdul Bin Busu, Tok Batin KOA Rening memberi maklumbalas yang sangat menggalakkan. Katanya, melalui semua projek ini perkhidmatan internet kini bukan sahaja memberi kemudahan perhubungan masyarakat Orang Asli disitu malah ianya membantu kerja-kerja promosi dan tempahan untuk Chalet Kg. Rening yang dibina penduduk OA di situ.

“Manakala, Tok Batin Alang Hitam dari KOA Terakit juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pahang dan SKMM kerana memilih KOA Terakit sebagai sebahagian daripada projek ini. Katanya, penduduk kampung berasa amat bersyukur kerana kini mendapat manfaat perkhidmatan internet yang diidamkan mereka selama ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram