YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan replika kunci Rumah Rakyat Pahang

TAK PAYAH DAH NAK PINDAH SANA SINI – PENERIMA RRP CAMERON HIGHLANDS

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

CAMERON HIGHLANDS, 14 OGOS 2022 : “Alhamdulillah bagi kami merasa ada rumah selesa, tak payah dah nak pindah sana sini.” Itu penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) Daerah Cameron Highlands, Puan Jamnah Othman, 61.

Puan Jamnah Othman yang tidak dapat menahan rasa sebaknya berulang kali mengucapkan terima kasih di atas pemberian rumah berkenaan yang disifatkan sebagai tanda keperihatinan Kerajaan Pahang kepada rakyat.

“Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang kerana bagi kami peluang untuk merasa nikmat duduk rumah sendiri, rumah yang selesa.

Puan Jamnah Othman

“Terima kasih sangat-sangat dah bagi kami rumah, bagi barang (kelengkapan asas) rumah lagi,” katanya yang merupakan ibu tunggal dan tidak bekerja.

Beliau berkata demikian selepas menerima replika kunci daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 Fasa 2, Penyerahan Kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP), Surat Tawaran Skim Tanah Rakyat (STR) Ringlet, dan Suratan Hak Milik Skim Tanah Rakyat (STR) Desa Anggerik di Dataran Pusat Komuniti MDCH, Lembah Bertam di sini.

Puan Jamnah yang tinggal bersama tujuh anak termasuk menantu dan cucu berkata dia kini menetap di rumah sementara Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang di Royal Lily sejak lapan tahun lepas.

Sementara itu, pasangan penerima RRP, Encik Mat Zaki Osman, 50, dan Puan Rozita Idris, 45, turut melahirkan rasa bersyukur dengan pemberian rumah ini.

“Rasa gembira, rasa bersyukur dengan rezeki rumah yang diterima ini. Terima kasih buat Menteri Besar yang banyak menolong kami semua, rakyat Pahang ini.

“Kami selama ini pun tak ada rumah, ini dapat rumah sendiri, rasa bersyukur sangat,” ujar pasangan yang merupakan anak jati Cameron Highlands ini.

Menurut Puan Rozita, keempat-empat anaknya juga turut teruja apabila mendengar akan memiliki kediaman sendiri setelah tinggal menyewa selama lebih sepuluh tahun.

“Anak-anak bila tahu dapat rumah ini memang seronok sangatlah sebab selama ini tak ada rumah sendiri,” katanya yang bercadang untuk masuk ke rumah baharu sebelum cuti sekolah akan datang.

Seramai empat penerima Rumah Rakyat Pahang di kawasan Cameron Highlands bagi tahun 2021 telah menerima replika kunci dan replika cek barangan keperluan asas rumah.

Turut hadir, Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Nor; Pegawai Daerah Cameron Highlands, YBhg. Tuan Syed Ahmad Khairulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman; dan Yang DiPertua Majlis Daerah Cameron Highlands, YBhg. Encik Azmil Hadid Maznan. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram