Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
LIPIS, 13 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Projek Penyelidikan Dan Pembangunan Wagyu Pahang, Lembu Pedaging Dan Tenusu Antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang Dan Farm Fresh Berhad di Daerah Lipis.
MoA ini ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), YH. Dato’ Razihan Adzharuddin mewakili Kerajaan Negeri Pahang disaksikan oleh Pegawai Pelaburan Negeri Pahang, YH. Dato’ Kamarul ‘Arifin Ahmad@Abd Rahman.
Manakala Farm Fresh Berhad diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, YBhg. Encik Azmi Zainal dan disaksikan oleh Pengurus Besar Farm Fresh Berhad, YBhg. Encik Abdullah Bakri.
Perjanjian berkenaan telah disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Tuan Saiful Edris Zainuddin; dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak.

Hadir sama, Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Noor; Ahli Dewan Negara, YB. Senator Dato’ Ajis Sitin; Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Barat Plus, Puan Harizah Dato’ Haji Hassan; dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy dalam ucapan aluannya berkata perjanjian yang dimeterai ini bagi mengukuhkan keperluan sekuriti makanan di negeri ini.
“Kerajaan Negeri terus giat berusaha untuk meningkatkan keperluan rakyat Pahang khasnya dalam pengukuhan keperluan sekuriti makanan.
“Kerajaan Negeri juga terus mengambil tindakan wajar bagi memastikan keperluan dan permintaan rakyat terhadap rantaian sistem makanan dapat dipenuhi dan lebih berdaya tahan serta mampan,” katanya.
Beliau berkata projek dengan kos pelaburan bernilai RM10.5 juta ini akan dijalankan di atas tanah seluas 121 hektar yang dapat menempatkan 600 ekor lembu wagyu pedaging dan 600 ekor lembu pedaging berasaskan baka premium.
“Suka saya maklumkan, projek ini akan melibatkan pembangunan secara berfasa di atas tanah seluas 300 ekar dengan kos pelaburan berjumlah RM10.5 juta ringgit yang akan menempatkan 600 ekor lembu wagyu pedaging dan 600 ekor lembu pedaging berasaskan baka premium berdasarkan anggaran kuantiti pengeluaran daging segar bermula tahun kedua pembangunan projek iaitu sebanyak 75,000 kilogram daging.
“Rancangan projek ini bersifat serampang dua mata di mana ketika pihak pemain industri menjadi pembekal baka kepada penternak- penternak tempatan (satelite farmers). Mereka juga dilatih untuk sama- sama terlibat dalam pengeluaran lembu pedaging premium suatu hari nanti.
“Bukan itu sahaja, pembangunan ini juga diharap dapat menampung keperluan daging segar di Negeri Pahang dan secara tidak langsung akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada warga tempatan yang berminat untuk mempelajari bidang ternakan yang lebih mendalam daripada pakar ternakan ini,” katanya.
Tambah beliau lagi, cadangan projek berkenaan adalah salah satu fokus kepada agenda pembangunan Pahang Barat Plus dimana ia diharap dapat memajukan dan mengukuhkan ekonomi di wilayah tersebut.
“Kita akan memberi peluang kepada kawasan ini untuk dimajukan dengan projek berskala tinggi dengan penglibatan terus penduduk tempatan dalam pelbagai cabang termasuk profesional dan separa mahir apabila projek beroperasi kelak.
“Saya amat berharap agar projek R&D ini bukan mimpi tapi realiti, bukan impian tapi kenyataan, bukan fatamorgana tetapi nyata. Samalah kita berusaha agar projek ini tidak menjadi projek ‘Gajah Putih’ atau hangat-hangat tahi ayam sahaja. Saya mahu projek ini terus berjalan dan berjaya dilaksanakan yang hasilnya nanti akan dapat kita semua kongsi bersama,” katanya. -PAHANGMEDIA