YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Suratan Hak Milik dan Notis Borang 5A Daerah Jerantut di Dewan Utama Majlis Daerah Jerantut.

KERAJAAN PAHANG SENARAI HITAM PESERTA YANG JUAL TANAH STR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

JERANTUT, 10 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang akan menyenarai hitam peserta dan keluarga peserta Skim Tanah Rakyat (STR) sekiranya mereka didapati menjual tanah yang diterima.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini bagi memastikan penjualan tanah tidak menjadi amalan dalam kalangan penerima tanah berkenaan.

“Yang pertama sekali kita tak nak ia (penjualan tanah) jadi amalan. Mereka mohon tanah, dapat tanah, jual. Kita bagi tanah ini adalah untuk menambahkan kedudukan sosial ekonomi mereka.

“Bila dapat tanah contohnya 3 ekar, 4 ekar, mereka boleh bercucuk tanam. Boleh tanam getah, sawit dan dalam jangka masa 4 tahun ke 5 tahun, akan membuahkan hasil dan sekaligus menambahkan hasil pendapatan mereka.

“Tapi kalau kita bagi tanah dan dijual, dapatlah banyak mana kita tak tahu mereka dapat, lepas itu habis macam itu sahaja,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik dan Notis Borang 5A Daerah Jerantut di Dewan Utama Majlis Daerah Jerantut.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah; barisan exco Kerajaan Pahang; dan Pegawai Daerah Jerantut, Puan Khairun Nissa Aris.

Beliau berkata sekiranya peserta menjual tanah STR yang diberikan ini, hasrat Kerajaan Pahang untuk membantu rakyat negeri ini tidak akan tercapai.

“Jadi ini (penjualan tanah) beat the purpose lah. Jadi hasrat Kerajaan tidak tercapai. Dan kita tak nak jadi amalan di Pahang, dapat tanah, jual tanah, kerana tanah ini adalah sumber yang terhad.

“Setakat ini belum ada lagi yang di senarai hitam sebab kita dah bagi amaran awal dan mereka tidak menjual tanah itu. Dan kita juga ada kenakan moratorium kepada peserta, di mana mereka yang dapat tanah ini, dia nak jual pada hari esok, tak boleh. Dia ada tempoh, itu pun kena mendapat kebenaran daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Seramai 1,312 peserta STR melibatkan enam buah kampung iaitu Felda Sungai Retang; Felcra Durian Hijau 1; Felcra Durian Hijau 2; Sungai Sambau; Perumahan Kampung Pagi Murni 1; dan Perumahan Kampung Pagi Murni 2. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram