Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
JERANTUT, 10 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) menandatangani perjanjian (MoA) Membangunkan Ladang Kelapa Sawit Bagi Projek Skim Tanah Rakyat (STR) Ladang Tembeling Jaya 1 Dan 2 bersama Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA).
Perjanjian pajakan ini adalah bertujuan bagi memajukan tanah seluas kira-kira 721 hektar sebagai ladang kelapa sawit untuk Skim Tanah Rakyat (STR) di sini.
MoA yang ditandatangani oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkenaan disaksikan oleh Pegawai Pelaburan Negeri Pahang, YH. Dato’ Kamarul ‘Arifin Ahmad@Abd Rahman mewakili Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang, manakala KOSMA diwakili oleh Pentadbir KOSMA, Encik Zahari Abdul Aziz dan disaksikan oleh Pengurus Besar KOSMA, Encik Mohd Shafirun Mohd Azba.

Hadir sama menyaksikan pemeteraian perjanjian berkenaan di Dewan Banquet Majlis Daerah Jerantut adalah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah dan Pegawai Daerah Jerantut, Puan Khairun Nissa Aris.
Program Skim Tanah Rakyat (STR) yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri ini melibatkan tanah di seluruh Pahang termasuklah di Jerantut yang berkeluasan 721 hektar (1782.56 ekar) di Kuala Tahan, Mukim Tembeling, di mana melibatkan pemilihan 344 orang peserta dengan keluasan petak bagi setiap peserta adalah 0.81 hektar (2 ekar).
Dalam majlis sama, turut diadakan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Pajakan Dan Usahasama Bagi Memajukan Ladang Kelapa Sawit di Ulu Cheka di antara Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dengan Rangkaian Delima Sdn. Bhd.
Mewakili UniPSAS, Pengerusinya, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin, diiringi Naib Cancelor UniPSAS, YH. Dato Mohd Zawavi Zainal Abidin, manakala Rangkaian Delima Sdn. Bhd. diwakili oleh Lembaga Pengarahnya, Encik Makhzan Hussein yang diiringi Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Haji Azrul Khairi Muhamad.
Perjanjian pajakan dan usahasama bersama pemaju tanah seluas kira-kira 316 hektar iaitu Syarikat Rangkaian Delima ini dijalinkan atas faktor ia berpengalaman dalam bidang perladangan, sebagai pemaju tanah yang bekeluasan 783.06 ekar.
Ia juga adalah bagi menjamin kelestarian kewangan universiti hak milik penuh Kerajaan Negeri Pahang ini, dimana pendapatan daripada projek pembangunan ini akan dikembalikan kepada UnIPSAS bagi menampung perbelanjaan pembangunan, aktiviti pendidikan dan penyelidikan untuk pembangunan modal insan yang berkualiti buat rakyat Pahang. – PAHANGMEDIA