Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 4 OGOS 2022 : Pembukaan Kedai KASIHNITA di Serambi Teruntum dilihat mampu meningkatkan peluang golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk bekerja sendiri (self-employment) dengan menyertai bidang keusahawanan dan program pemerkasaan ekonomi.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, ia amat penting bagi memastikan OKU dapat menjana pendapatan dan seterusnya dapat meningkatkan kualiti hidup selain lebih mudah dan terbuka untuk bergaul dengan masyarakat.

“Kedai KASIHNITA adalah satu cetusan idea daripada Puspanita Cawangan Pahang dengan kolaborasi bersama rakan strategik seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) serta Makmur Gold.
“Bagi saya keistimewaan Kedai KASIHNITA ini terletak pada produk-produk yang dijual di sini dihasilkan oleh anak istimewa kita, malah pekerja juga diambil di kalangan OKU dan anak-anak istimewa dari Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di sekitar daerah Kuantan.
“Saya kira ini bukan sahaja satu aktiviti perniagaan menambah tabung Puspanita, tetapi juga membantu anak-anak istimewa ini menambah pendapatan dan juga peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang selepas merasmikan Kedai KASIHNITA Puspanita Cawangan Negeri Pahang di Serambi Teruntum, hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, YH Dato’ Zulkhairi Zainol Abidin, Pengerusi Puspanita Cawangan Negeri Pahang, Datin Sri Kamariah Mohamad, Setiausaha Majlis Bandaraya Kuantan, Encik Yusoff Husain dan Pengerusi Koperasi Makmur Malaysia Berhad atau Makmur Gold, Encik Khairul Azam Awang.
Dalam pada itu, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza berkata, kewujudan kedai ini membuka ruang bagi aktiviti ekonomi namun dalam masa yang sama cakna dengan kebajikan anak-anak istimewa khususnya dan mengajak serta mendidik masyarakat untuk memberi perhatian kepada golongan ini.
“Bagi mereka yang datang ke kedai ini boleh dapatkan produk kraftangan, makanan sejuk beku, kuih dan kerepek, garam spa, sabun basuh kain, sabun mandi dan lain-lain produk di mana semua ini dihasilkan oleh anak-anak istimewa ini.
“Saya harap masyarakat di luar dapat bagi sokongan dengan mendapatkan produk-produk di sini yang dihasilkan oleh mereka sendiri sebagai pemangkin semangat untuk mereka meneruskan usaha ini,” katanya. – PAHANG MEDIA