Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 4 OGOS 2022 : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memperuntukkan sebanyak RM520,000 bagi membaikpulih pusat penjaja di sekitar daerah ini.
Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, ia melibatkan baik pulih kerosakan struktur dan fasiliti termasuk menurap semula tapak yang didapati telah rosak atau tidak sempurna.
“Antara kawasan peniaga dan penjaja yang menerima manfaat itu adalah di Sungai Isap, Jaya Gading, Taman Tas, Tanjung Lumpur dan Batu 3. Selain memberi keselesaan kepada peniaga dan penjaja, inisiatif ini adalah untuk manfaat masyarakat umum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Penganjur dan Peniaga Cemerlang Pasar Ramadan Lestari dan Pintar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) Tahun 2022, di Dewan MBK semalam.
Sementara itu, pada program berkenaan beliau turut menyampaikan anugerah kepada penganjur dan peniaga yang terpilih.
Sepanjang tempoh penilaian, pihak majlis telah menilai sebanyak 12 penganjur bazar Ramadan di 20 lokasi dengan jumlah keseluruhan peniaga seramai 587 orang.
Hasil penilaian yang dijalankan, seramai 10 peniaga dan dua penganjur telah dinamakan sebagai peniaga dan penganjur cemerlang. – PAHANGMEDIA