YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bergambar bersama semua Ahli Dewan Negeri Pahang

STATUS PEMBANGUNAN NEGERI PAHANG BERTERUSAN

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 2 OGOS 2022 : Kedudukan kewangan negeri yang kukuh telah membawa kepada kejayaan pelaksanaan pelbagai bentuk pembangunan serta penyaluran pelbagai jenis bantuan bagi manfaat rakyat.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia termasuk Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang melibatkan peruntukan berjumlah RM30 juta untuk disalurkan kepada 300,00 penerima di negeri ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan program Kebanggaan Pahang atau Pahang Pride yang merangkumi program-program khas seperti Pahang Pride Kid, Pahang Pride Kasih dan Pahang Pride Student.

“Menerusi program Kebanggaan Pahang ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20 juta yang dapat memberi manfaat kepada 281,000 penerima yang melibatkan bayi baru lahir, warga emas dan para pelajar di negeri ini.

“Sesungguhnya banyak lagi bantuan yang inisiatif yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada setiap warga negeri ini tanpa mengambil kira bangsa, agama dan juga fahaman politik yang dipegang. Semuanya kita beri, asalkan mereka ini benar-benar terdiri daripada golongan yang layak untuk menerimanya tanpa sebarang pilih kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Sementara itu, bersempena dengan sambutan Bulan Kemerdekaan pada bulan ini, beliau mengajak semua pihak agar bersama-sama menghayati semangat pemimpin, para pejuang dan rakyat terdahulu yang berjuang melawan penjajah bagi membebaskan negeri ini daripada belenggu cengkaman penjajahan.

Katanya, jiwa anak-anak muda pada zaman kini juga perlu diisi dengan program-program kenegaraan agar semangat cintakan negara dan tanah air sentiasa terpahat dan bersemarak di dalam hati mereka.

“Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada Kembara Studio yang menerbitkan filem Mat Kilau yang telah menerima sambutan yang cukup luar biasa.

“Filem-filem berbentuk patriotisme seperti ini perlu dipergiatkan dan diperbanyakkan untuk tatapan generasi muda. Malah Kerajaan Negeri akan memberi sokongan kepada penggiat seni yang berhasrat untuk menghasilkan filem-filem seumpama ini,” katanya.

Selain itu beliau berkata, kempen kibar Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Pahang juga perlu dipergiatkan bagi menyemarakkan lagi Bulan Kemerdekaan ini.

“Saya menyeru semua pemilik bangunan kerajaan, premis swasta dan premis perniagaan serta rumah kediaman di seluruh negeri ini untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Pahang bagi menyemai semangat patriotik dan cintakan negara,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram