Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim dan Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 2 OGOS 2022 : Kestabilan Pahang dalam setiap aspek kini membuktikan bahawa pentadbiran negeri kini telah dipacu dengan baik dan berada di landasan yang tepat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kedudukan kewangan Negeri Pahang juga semakin kukuh berdasarkan peningkatan hasil dan pendapatan setiap tahun.
“Kutipan terus meningkat dan sasaran RM1 bilion diyakini mampu dicapai di mana setakat 27 Julai lalu, sebanyak RM841 juta telah berjaya dikutip.
“Sesungguhnya kutipan hasil ini tidak pernah sesekali membebankan rakyat tetapi sebaliknya tindakan meningkatkan kecekapan pentadbiran, mengurangkan ketirisan, kebocoran serta melaksanakan inisiatif-inisiatif baharu telah membolehkan lebih banyak hasil diperoleh.
“Lebihan hasil ini pula Kerajaan Negeri akan kembalikan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk sumbangan, bantuan kebajikan, program-program pendidikan, projek pembangunan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, kestabilan politik dan pembangunan infrastruktur yang baik di Pahang ketika ini telah berjaya menarik minat pelabur untuk menanam modal di negeri ini di mana pada tahun lalu sebanyak RM10.5 bilion nilai pelaburan telah berjaya ditarik masuk.
“Ia membolehkan Pahang berada di kedudukan ketiga terbaik negeri di Malaysia berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Dan Alhamdulillah, pada tahun ini sukacita saya umumkan bahawa sehingga 31 Julai 2022, Negeri Pahang telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM20.5 ringgit melibatkan RM9.5 bilion pelaburan domestik dan RM11 bilion pelaburan asing.
“Mengenai hutang negeri terhadap Kerajaan Persekutuan pula, sukacita saya memaklumkan bahawa daripada keseluruhan hutang yang berjumlah RM3.33 bilion ringgit, sebanyak RM1.307 bilion ringgit telah diluluskan untuk dihapus kira, manakala sebanyak RM1.115 bilion ringgit lagi telah diinovasikan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Ini bermakna hutang negeri kepada Kerajaan Persekutuan hanya berbaki sebanyak RM908 juta ringgit sahaja ketika ini,” katanya.
Sementara itu dalam ucapan sama, beliau turut menyampaikan ucapan syabas dan tahniah kepada bekas Menteri Besar Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelangai, Tan Sri Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob kerana berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). -PAHANGMEDIA