Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar di Pekan

KERAJAAN PAHANG BERJAYA TARIK PELABURAN RM20.5 BILION

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 1 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang berjaya menarik pelaburan berjumlah RM20.5 bilion sehingga 31 Julai lalu.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah pelaburan ini melibatkan RM9.5 bilion pelaburan domestik manakala RM11 bilion pelaburan asing.

“Pencapaian ini begitu ketara di mana pada tahun lalu, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berjaya menarik pelaburan bernilai RM10.5 bilion sehingga membolehkan Pahang berada di kedudukan ketiga negeri terbaik di Malaysia berdasarkan laporan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ikrar Taat Setia Mewakili Wakil-Wakil Rakyat, Pegawai-Pegawai Kerajaan, Badan Berkanun dan Rakyat Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar di Pekan.

Pada istiadat itu, seramai 99 individu telah dikurniakan darjah dan pingat kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur yang dikurniakan sendiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam ucapannya juga, beliau turut memaklumkan berkaitan hutang negeri kepada Kerajaan Persekutuan yang hanya berbaki RM908 juta sahaja ketika ini.

“Mengenai hutang negeri kepada Kerajaan Persekutuan pula, sukacita patik memaklumkan bahawa daripada keseluruhan hutang yang berjumlah RM3.33 bilion, sebanyak RM1.307 bilion telah diluluskan untuk dihapus kira manakala sebanyak RM1.115 bilion telah dinovasikan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

“Ini menjadikan hutang negeri kepada Kerajaan Persekutuan hanya berbaki sebanyak RM908 juta sahaja ketika ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram